Bikesrepublic

Tayar Motosikal

Tayar radial untuk motosikal sudah merupakan perkara biasa sekarang sehingga hampir tiada siapa yang memikirkannya. Hampir mana-mana motosikal besar daripada 250cc dan ke atas menggunakan tayar jenis radial. Malah ada juga tayar jenis radial bagi motosikal kecil termasuklah untuk kapcai dan skuter.

Tetapi bagaimana anda tahu jika tayar itu merupakan jenis radial? Cuma cari huruf “R” selepas maklumat saiz atau simbol kelajuannya.

Apapun, tayar jenis radial agak baharu terutamanya untuk motosikal, berbanding dengan untuk kereta, serta setelah tayar pneumatik (tayar yang diisi dengan udara) dicipta

Tayar pneumatik pertama

Bertentangan dengan kepercayaan popular, paten untuk pneumatik telah dikemukakan oleh seorang pencipta berbangsa Scotland, Robert William Thompson pada tahun 1847, bukannya John Dunlop. Ciptaannya, bagaimanapun, tidak berjaya dijadikan produksi.

Tetapi John Boyd Dunlop, seorang doktor haiwan, merupakan orang pertama yang mencipta tayar pneumatik yang berfungsi pada tahun 1888. Dia menciptanya setelah anak lelakinya yang berumur 10 tahun yang mengadu sakit kepala selepas menunggang basikal mereka yang dipasang dengan roda kayu.

Tayar pneumatik bermaksud terdapat lapisan udara di dalam tayar. Udara itu memberikan keanjalan dan seterusnya keselesaan. Melaraskan tekanan udara turut melaraskan tahap keselesaan dan prestasi.

Perlu dikatakan bahawa tayar pneumatik yang awal digam pada rodanya untuk mengelakkan udara bocor dan tekanannya tidak boleh laras dengan mudah seperti tayar moden. Adik-beradik Michelin-lah yang memikirkan cara untuk memasang tayar pneumatik tanpa menggamkannya pada rim basikal. Secara kebetulan, perkataan Perancis untuk tayar itu ‘pneu‘.

Tayar jenis radial lwn. tayar jenis bias-ply

Tayar-tayar yang awal pada asasnya menggunakan cara pembuatan lapisan demi lapisan yang bersilang sudut, yang dipanggil ‘bias-ply.’

Juga dikenali sebagai ‘cross-ply,’ lapisan yang membentuk badan tayar yang diletakkan menyerong daripada sebelah tayar ke sebelah tayar yang bertentangan. Lapisan seterusnya diletakkan di atas pada sudut bertentangan yang membentuk corak bersilang-silang (oleh itu dinamakan ‘cross-ply‘ yang bermaksud lapis silang).

Ini membolehkan tayar mudah lentur dan pengguna kenderaan berasa lebih selesa. Walaubagaimanapun, ciri ini juga merupakan kelemahan utama tayar jenis ini, kerana ia menyebabkan rintangan gelekan meningkat (memerlukan lebih banyak tenaga untuk bergerak), bersama-sama dengan daya tarikan dan kawalan yang berkurangan pada kelajuan tinggi kerana tayar berubah bentuk. Tayar bias-ply secara umumnya tidak dapat menahan daya emparan yang tinggi pada kelajuan tinggi. Daya yang berlebihan akan menyebabkannya meletup.

Sebaliknya, tayar radial menggunakan lapisan yang memanjang daripada sebelah ke sebelah dan selari antara satu sama lain, biasanya sekitar 90 darjah ke perjalanan tayar, bukannya menyerong melintang seperti pada tayar bias-ply. Lapisan dipegang pada tempatnya oleh tali penstabil yang berada di bawah bunga tayar. Terdapat banyak kelebihan tayar radial termasuk jangka hayat bunga yang lebih lama, kawalan stereng yang lebih baik, penjimatan bahan api kerana rintangan gelekan yang kurang, dan cengkaman yang lebih baik.

Sejarah tayar radial untuk motosikal

Michelin-lah yang mempatenkan tayar radial pada tahun 1946. Mereka akhirnya membangunkan tayar radial praktikal pertama (bermula dengan kereta) pada tahun 1951 dan dipasang pada Lancia Aurelia. Ia mengambil masa lebih 30 tahun kemudian sebelum tayar radial membuat penampilan pertamanya pada motosikal jalan raya.

Siapa sebenarnya yang mencipta tayar radial motosikal produksi yang pertama masih diperdebatkan.

Pirelli mendakwa merekalah yang pertama pada tahun 1983, apabila mereka memperkenalkan tayar radial untuk Honda VF1000 R. Bagaimanapun, tayar itu hanya tersedia untuk model motosikal tersebut.

Michelin, sebaliknya, adalah yang pertama menawarkan (walaupun rangkaian kecil) tayar radial untuk semua jenama motosikal pada tahun 1987 yang dipanggil A59X dan M59X, masing-masing di hadapan dan belakang.

Tetapi apa pun pendebatannya, Michelin-lah yang paling banyak melakukan penyelidikan terhadap tayar radial sejak awal lagi. Konsep sebenar tayar radial adalah milik Michelin, kerana juruteranya menghasilkan idea untuk tayar automotif pada tahun 1930-an.

Michelin mendakwa programnya untuk tayar radial motosikal bermula pada tahun 1981. Sebahagian besar kerja pembangunan telah dijalankan di litar lumba dengan Juara Dunia tiga kali Freddie Spencer menggunakan tayar radial pada bahagian belakang Honda NSR500 untuk musim 1985.

Peringkat seterusnya dalam pembangunan tayar radial menyaksikan Michelin memperkenalkan silika ke dalam sebatian tayar getah pada 1990 untuk menyelesaikan masalah keseimbangan antara cengkaman dan rintangan bergolek, tanpa menjejaskan cengkaman tayar. Dengan menambah silika, Michelin juga dapat meningkatkan prestasi cuaca basah dan cengkaman tayar. Ia mengambil masa sembilan tahun lagi untuk Michelin Pilot Sport menjadi tayar motosikal jalanan pertama yang mempunyai ciri ini.

Michelin juga mengambil langkah lain untuk membangunkan tayar dwi-kompaun pertama, dengan memperkenalkan kompaun yang lebih keras di bahagian tengah dan digabungankan dengan kompaun yang lebih lembut pada teapi tayar pada tahun 1994. Ia mula digunakan secara eksklusif untuk perlumbaan dan pembangunan tayar, dan akhirnya membuahkan hasil sebagai Michelin Power Sport pada 2005. Tayar itu adalah tayar perlumbaan pertama yang boleh dihomologasikan untuk kegunaan jalan raya.

Tayar dwi-kompaun untuk jalan raya sahaja yang pertama ialah Michelin Pilot Road 2 dengan 2CT Technology (teknologi dwi-kompaun) pada tahun 2006.

Penutup

Teknologi dan pembangunan tayar telah melalui begitu banyak peristiwa penting terutamanya dalam 5 dekad yang lalu. Kemunculan motosikal yang lebih berkuasa, lebih laju dan lebih berat hari ini boleh dikesan secara langsung kepada kemajuan dalam teknologi tayar radial.

Penulis ini telah menunggang motosikal selama hampir 40 tahun dan dia boleh menasihatkan anda bahawa menukar tayar kepada yang lebih baik adalah peningkatan prestasi yang terbaik dengan segera.

‘Bikers’ selalu bercakap tentang membuat motosikal mereka lebih ‘power’ dan laju. Ia biasanya melibatkan pengubahsuaian enjin, menukar sistem ekzos, menggantikan alatan ‘standard’ dengan yang lebih ringan, dan juga melaraskan semula atau menggantikan komponen suspensi.

Sebenarnya, satu set tayar baru yang baik boleh membuat perbezaan yang ketara, kerana walaupun enjin anda mungkin memperoleh 30 kuasa kuda tambahan, anda tidak dapat memanfaatkannya ini kerana tayarnya buruk.

1. Keselamatan

Ini merupakan aspek terpenting kerana tayar lama atau yang kurang baik tidak mencengkam dengan sempurna. Ia mungkin melompat di atas bonggol-bonggol di atas permukaan jalan raya dan menyebabkan cengkaman kurang pada permukaan yang kurang rata sepenuhnya. Kompaun tayar yang keras juga menjadikannya kurang lentur untuk mencengkam permukaan jalan.

Lebih kritikal, tayar yang kurang baik juga menjejaskan prestasi brek yang mengakibatkan ketidakstabilan atau lebih teruk, kehilangan cengkaman. Pada motosikal yang ada sistem ABS pula, anda boleh merasakan ABS dicetuskan terlalu awal. Oleh itu, anda akan mengimbanginya dengan menggunakan tekanan brek yang lebih sedikit, justeru menyebabkan jarak dan masa berhenti bertambah.

2. Cengkaman

Tayar yang baik memberikan daya cengkaman yang diperlukan untuk memaksimumkan kuasa enjin semasa pecutan dan tunggangan berkelajuan tinggi, mengoptimumkan prestasi brek, dan membantu suspensi berfungsi dengan lebih baik dalam semua aspek. Tetapi, anda harus memilih jenis tayar yang sesuai untuk jenis motosikal dan keperluan tunggangan anda, contohnya, tayar ‘sport-touring’ apabila anda ingin menunggang motosikal ‘sport-tourer’ anda untuk jarak jauh.

3. Pengendalian

Ini adalah satu lagi kelebihan yang jelas. Tayar tertentu mungkin berasa bagus apabila ia baru, tetapi mula menunjukkan belangnya apabila mula haus. Satu set tayar yang baik yang sesuai dengan ciri-ciri motosikal anda sangat membantu dalam aspek pengendalian motosikal anda.

4. Keselesaan

Tayar lama mungkin telah kehilangan keanjalannya, menyebabkan ia berasa keras. Akibatnya, anda boleh merasakan setiap benjolan yang dilanggar, menyebabkan tangan anda menjadi kebas dan badan anda berasa seperti anda bergelut dengan beruang.

Namun apa yang penting adalah untuk mencari tayar terbaik untuk motosikal dan keperluan anda. Secara amnya, Bridgestone mempunyai pembinaan yang paling keras, diikuti oleh Michelin, kemudian Pirelli, dan yang paling lembut ialah Metzeler. Ia juga bergantung pada jenis tayar, contohnya, jenis ‘sport’ berbanding ‘sport-touring’ berbanding dwi-sukan.

5. Keyakinan

Tayar baharu yang baik memberikan prestasi yang diperlukan apabila melibatkan semua aspek cengkaman termasuk tindakbalas stereng, mengambil selekoh, dan daya cengkaman semasa brek. Aspek-aspek ini menambah keyakinan anda yang seterusnya membolehkan anda berasa lebih santai apabila anda menunggang.

Penutup

Jadi, fikirkanlah tentang menaiktaraf tayar anda terlebih dahulu apabila anda mahu pergi lebih laju. Selain itu, mengubahsuai enjin anda dan komponen lain memerlukan lebih banyak wang, akan membatalkan waranti anda (jika motosikal anda masih baharu), dan boleh mengakibatkan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

Tayar yang baik menawarkan lebih banyak lagi dan merupakan nilai yang lebih baik untuk wang titik peluh anda.

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Di sini kami sediakan satu panduan ringkas mengenai simbol tayar motosikal.
  • Adalah penting bagi kita untuk mengetahui makna tanda-tanda ini.
  • Tayar bukan sahaja memberi kesan kepada pengendalian motosikal anda tetapi juga kepada keselamatan anda.

(more…)

Sumber imej: mo-motorcycles-tyres

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Tayar adalah cara terbaik bagi menambah baik motosikal.
  • Namun, bagaimanakah anda menentukan tayar yang terbaik?
  • Di sini kami senaraikan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan beserta tip.

(more…)

Seminar Tayar Pirelli telah diadakan pada hari Sabtu (25 November 2017) di Passion Shop Malaysia yang terletak di Sentul, Malaysia.
Bengkel yang eksklusif serta percuma ini bertumpukan pengetahuan asas mengenai tayar, fungsi dan maklumat berguna lain untuk para pengedar serta penunggang.
Perkara-perkara asas seperti jenis tayar, perlengkapan, dan cara memperbaiki dengan betul dapat membantu para peserta dalam memperolehi pemahaman serta kemahiran yang praktikal.

(more…)

 

 

  • Terdapat pelbagai jenis tayar motosikal jalanan berbeza yang ada di pasaran hari ini dari tayar cruiser sehinggalah ke tayar perlumbaan.
  • Kami akan meneliti beberapa jenis tayar bagi membantu anda memahami jenis-jenis yang berbeza dan bagaimana untuk memilih tayar yang terbaik untuk anda.
  • Pemilihan tayar yang sesuai dengan motosikal anda bergantung kepada beberapa faktor; jenis motosikal, gaya penunggangan, cuaca dan paling penting sekali, dimana dan bila anda menunggang.

(more…)

 

  • Selalunya motosikal lumba akan menggunakan tayar tanpa tiub sementara mereka yang menunggang secara kembara kadang-kadang akan menggunakan tayar bertiub yang lebih mudah untuk dibaiki.
  • Tekanan terlampau tinggi akan menyebabkan bahagian tengah tayar haus dengan lebih cepat dan mempengaruhi pengendalian keseluruhan.
  • Saiz tayar dipilih secara khas bersesuaian dengan bagaimana enjin dan kerangka dibina.
  • Cara yang termudah dan paling banyak digunakan untuk mengetahui saiz tayar adalah melalui sistem metrik dimana tiga nomber berbeza dipaparkan pada dinding tayar contohnya 120/70-11 atau 200/55-17.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube