Pameran motosikal terbesar dunia, EICMA telah pun melabuhkan tirai pada Ahad yang menyaksikan pelbagai motosikal telah dipamerkan di Milan.
Bagaimanapun, disebabkan terlalu banyak model baharu/dikemas kini bagi tahun 2023, kami rangkumkan 10 model keluaran 2023 yang menarik dan harus diberi perhatian.
1. Yamaha Tracer 9 GT+
Yamaha telah kemas kini model sport tourer popular dengan varian Tracer 9 GT+ bagi tahun 2023.
Model akan datang itu dinaik traf dengan sistem radar yang menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan sistem Unified Braking System (UBS).
Kedua-dua fungsi ini adalah kali pertama diperkenalkan pada jentera Yamaha.
2. Honda XL750 Translap
Honda XL750 Transalp menandakan kembalikan nama ‘Transalp’ dalam portfolio Honda.
Menawarkan enjin parallel-twin 750cc dengan ‘270-degree crank’ serba baharu, motosikal ini menghasilkan 90hp dan 75Nm.
Sebagai jentera ‘adventure touring’ model ini dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik antara empot mod menunggang, wheelie control, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan ABS.
3. Suzuki GSX-8S
Suzuki antara yang buat kejutan di EICMA apabila memperkenalkan GSX-8S serba baharu.
Motosikal naked itu turut tampil dengan platform serba baharu, enjin parallel-twin 766cc yang menggantkan enjin V-Twin sebelum ini.
Menawarkan 81.7hp dan 78Nm, Suzuki GSX-8S ini juga didatangkan dengan panel meter TFT dan fungsi ‘quickshifter’.
4. Honda CL500
Honda terus perkembangkan varian 500cc dengan pelancaran CL500.
Model gaya scrambler ini dikuasakan enjin parallel-twin sama dari CMX Rebel 500 dan CB500X namun dengan gaya retro.
Meskipun spesifikasi juga hampir sama dengan Rebel 500 namun kedudukan ekzos tinggi dan ergonomik baharu memastikan model ini sesuai untuk mereka yang berjiwa muda dan retro.
5. Suzuki V-Strom 800 DE
Selain GSX-8S, Suzuki turut memperkenalkan motosikal ADV terbaru menerusi V-Strom 800 DE.
Seperti GSX-8S yang dijangka menggantikan SV650, V-Strom 800 DE juga dilaporkan sebagai pengganti V-Strom 650.
Selain datang dengan fungsi ‘quickshifter’, V-Strom 800 DE ini juga lengkap dengan sistem Suzuki Quick Balancer yang menurunkan tahap gegaran enjin bagi memastikan tunggangan yang lebih selesa.
6. Benelli BKX250 ADV
Benelli merupakan antara jenama yang turut mencuri perhatian kami kerana bukan hanya memperkenalkan satu atau dua model baharu tetapi empat model kesemuanya.
Benelli BKX250 pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja dengan reka bentuk yang radikal.
Dikuasakan enjin silinder tunggal 250cc yang sama dari TRK251, model ini dibina sebagai pesaing kepada Honda CRF250 Rally.
Hasilnya, segala ciri pada model ini memfokuskan kemampuan ‘off-road’ antarnaya rim ‘spoke’ 19-inci depan dan 17-inci belakang, fork depan 41mm dengan jarak pergerakn 180mm dan tangki 13.5L.
Rekaan lampu depan LED dengan DRL juga tampak moden dan futuristik.
7. Fantic Caballero 700
Umum sedia maklum Fantic Motor akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi dengan beberapa model akan diperkenalkan termasuk Fantic Caballero 500 yang telah pun menyertai Rimba Raid 2022 di Kuala Tahan, Pahang baru-baru ini.
Namun, Fantic akan memperkenalkan versi 700cc bagi tahun 2023.
Untuk rekod, Caballero 700 dikuasakan enjin CP2 700cc yang sama daripada Yamaha MT-07 dan menawarkan 75hp dan 68Nm.
8. Benelli TRK800
Lagi model baharu bakal dipasarkan Benelli adalah TRK800.
Benelli TRK800 merupakan model paling besar dalam keluarga TRK selepas TRK502 dan TRK702.
Datang dengan enjin enjin parallel-twin 754c 4-stroke dengan penyejukan cecair yang dipinjamkan daripada Leoncino 800, model ini menawarkan 76.2hp dan 67Nm.
Namun ciri paling menarik sudah tentu aspek rekaan yang tampak unik dan agresif.
9. Royal Enfield Super Meteor 650
Royal Enfield menambah sebuah lagi model bernadikan enjin 650cc menerusi Super Meteor 650.
Model serba baharu itu adalah langkah signifikan dalam buku Royal Enfield ekoran menjadi model 650cc pertama yang datang dengan lampu LED penuh dan model pertama yang dilengkapi fork jenis ‘upside/down’.
Selain itu Super Meteor 650 juga dilengkapi dengan kerangka dan swingarm serba baharu dan bukan sekadar mengitar semula ciri pada Continental GT dan Interceptoro 650.
10. Kawasaki EV dan HEV
Kawasaki dengan rasminya mendedahkan model elektrik (EV) dan hibrid (HEV) kepada orang ramai.
Menariknya, model EV datang dengan dua versi, ‘full fairing’ yang menyerupai Ninja dan ‘naked’ seperti varian Z sementara model HEV pula datang dengan reka bentuk Ninja.
Menurut Kawasaki model EV akan dipasarkan bermula 2023 namun model hibrid pula akan diperkenalkan pada pasaran dunia bermula 2024.
Kedua-dua model ini menandakan langkah terbaru Kawasaki dalam menembusi pasaran motosikal elektrik.
Rumusan
Daripada 10 model ini, kami tidak pasti model manakah yang akan dipasarkan di Malaysia namun mengambil kira pelbagai faktor, kami jangkakan sebahagian besar daripadanya akan diperkenalkan disini.
Model mana yang anda rasa wajib dibawa masuk ke Malaysia? Kongsikan pendapat anda diruangan komen disediakan.