Mac lalu, muncul satu paten yang merujuk kepada enjin V-Twin 896cc DOHC yang sama terdapat pada Aprilia Shiver dan Dorsoduro.
Bagaimanapun, paten tersebut didatangkan dengan lencana Gilera sekaligus menandakan kembali jenama ikonik itu untuk pasaran global.
Laporan terbaru mengesahkan projek Gilera akan diteruskan rakan Piaggio di China, Zongshen yang ketika ini menghasilkan jenama motosikal Aprilia di pasaran Asia.
Zongshen sebelum ini telah pun mendedahkan model prototaip RA9 yang menampilkan enjin sama yang terdapat pada Shiver 900. Bagaimanapun, RA9 didatangkan dengan panel badan dan rekaan serba baharu yang ternyata menyimpang daripada rupa Aprilia Shiver 900.
Menariknya, beberapa gambar terbaru yang dirakam di China turut mengesahkan Aprilia Shiver 900 akan dijenamakan semula sebagai Gilera.
Berdasarkan gambar dikongsikan, meskipun motosikal tersebut terselindung disebalik grafik ‘camo’ namun jelas reka bentuk motosikal tersebut memaparkan sebuah Aprilia Shiver 900.
Lencana Aprilia juga telah diganti dengan Gilera dan terpampang di bahagian skrin TFT serta lampu depan.
Menariknya, perkembangan terbaru ini juga sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa beberapa model Aprilia terdahulu termasuk Dorsoduro dan Caponord akan diteruskan di bawah jenama Gilera untuk pasaran global.