Benelli merancakkan lagi motosikal segmen pertengahan (mid segment) dengan melancarkan Leoncino 800 dan 800 Trail.
Direka di Itali dan dihasilkan di China, anak syarikat Qianjiang Motorcycle itu mendedahkan Leoncino dengan enjin 754cc sekitar hujung tahun lalu selepas melakar kejayaan menerusi Leoncino 500.
Dalam info terbaru didedahkan Benelli, Leoncino 800 ini didatangkan dengan kerangka jenis steel trellis (steel trellis frame) serta tangki 14 liter.
Bahagian sisi tangki memaparkan lencana Benelli di samping angka 800 manakala fender depan seperti biasa terpampang maskot singa yang ikonik pada Leoncino.
Rekaan lampu depan juga menggabungkan elemen moden dan klasik seperti mana yang dilaksanakan model dari pengeluar lain antaranya Triumph Trident dan Ducati Scrambler.
Menurut Benelli, Leoncino 800 ini menawarkan enjin 754cc parallel-twin (Euro 5) yang menjana 76.2hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 6,500rpm dengan segala kuasa itu disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan ‘slipper clutch’.
Pengalaman tunggangan dipertingkat dengan penggunaan fork depan (inverted) 50mm dari Marzocchi boleh laras (rebound, compression dan preload) serta monocshock (boleh laras) manakala sistem membrek dikendalikan Brembo 4-piston.
Sementara itu, bagi yang meminati pengayaan ala scrambler, Benelli turut menawarkan Leoncino 800 Trail.
Antara ciri yang diperkenalkan adalah kedudukan paip ekzos tinggi dan tampak klasik di samping penggunaan rim 19 inci depan (berbanding 17′ pada Leoncino 800) dan tayar knobby.
Fork Marzocchi dan monoshock belakang juga menawarkan travel 5.5′- berbanding 5.1’pada model standard – sekaligus meningkatkan ketinggian tempat duduk ke 32.6′.
Ketika ini Benelli masih belum mendedahkan sebarang maklumat harga mengenai Leoncino 800 dan 800 Trail ini namun pastinya akan jauh lebih rendah berbanding jenama lain dalam pasaran ketika ini.