Jenama motosikal Itali-China, Benelli, telah pun mendedahkan model TNT 899 2022 yang didedahkan menerusi laman web rasmi syarikat itu.
Namun, apa yang menghairangkan, model TNT 899 itu tampak sama seperti model generasi pertama yang diperkenalkan pada 2008 hingga 2016.
Antara yang dikekalkan adalah reka bentuk panel badan, bentuk tangki, tempat duduk, rekaan lampu dan belakang.
Sementara itu, TNT 899 ini masih lagi dikuasakan enjin tiga silinder 12-valve yang menjana 118hp pada 10,000rpm dan 88Nm pada 8,000rpm. Namun berbanding model terdahulu yang digerakkan enjin 899cc, model 2022 ini mengguna pakai enjin 898cc.
Melihat kepada maklumat di laman web Benelli, TNT 899 ini juga 5kg lebih ringan (210kg) berbanding model terdahulu. Bagaimanapun, dengan tangki sebesar 15.5L, pertambahan berat yang mendadak akan dirasai sejurus mengisi minyak.
Sementara itu, TNT 899 2022 ini dilengkapi fork teleskopik USD 50mm di bahagian depan dan monoshock di belakang dengan ‘preload’ dan ‘rebound’ boleh laras.
Tayar depan dan belakang pula dipadankan bersama rim 17” ddengan 120/70 (depan) dan 190/50 (belakang). Jarak antara tayar pula diletakkan pada 1,440mm.
Menurut info dikongsikan, dimensi Benelli TNT 899 baharu ini diletakkan pada 2080mm (panjang), 815mm (lebar) dengan ketinggian tempat duduk berada pada 820mm.
Berdasarkan gambar yang diperolehi, jelas Benelli telah menaik taraf sistem brek dengan penggunaan kaliper Brembo Stylema yang merupakan spesifikasi tertinggi bagi motosikal jalan raya. Sistem ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard di samping paparan skrin TFT serba baharu.
Menariknya, Benelli juga mengekalkan sistem penyejukan enjin di bahagian sisi kanan enjin seperti generasi sebelumnya.
Antara naik taraf kecil lain dilaksanakan adalah kehadiran lampu LED depan dengan DRL (daytime running light) di bahagian depand dan belakang.