BMW Malaysia akhirnya merasmikan BMW M 1000 R 2023 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM158,500.
Meskipun dibangunkan dengan platform S 1000 R namun M 1000 R ini mendapat enjin yang sama seperti M 1000 RR. Hasilnya, model M baharu ini menawarkan 205hp pada 13,000rpm dan 112Nm pada 11,000rpm.
Naik taraf pada sistem ShiftCam juga menyaksikan tork meningkat dari 10,000rpm kepada
12,000rpm dengan ‘redline’ diletakkan pada 14,600rpm berbanding 12,000rpm pada S 1000 R. Berdasarkan angka tersebut, ini bermakna M 1000 R juga jentera yang boleh beraksi cemerlang di litar lumba.
Selain itu, M 1000 R 2023 ini juga datang dengan sproket lebih pendek, 47 berbanding 45 pada S 1000 R.
Gear 4, 5 dan 6 juga lebih pendek agar M 1000 R ini lebih mesra ketika tunggangan dalam bandar. Bagi pengalaman yang lebih mengujakan, BMW M 1000 R ini juga dilengkapi Shift Assistant Pro (quickshifter) secara standard. Menariknya operasi sistem ini boleh diselaraskan sama ada mengikut tukaran gear konvensional atau gear GP.
Pakej elektronik pula terdiri daripada empat mod menunggang; Rain, Road, Dynamic dan Race manakala tiga mod lagi boleh diaktifkan ketika dalam litar; Race Pro 1, Race Pro 2 dan Race Pro 3.
Ciri lain termasuk Dynamic Traction Control (DTC) yang merangkumi wheelie-limitation, pit-lane limiter, launch control dan hill-start control (HSC).
Bagaimanapun, tumpuan utama sudah tentu terarah pada bahagian panel badan yang dilengkapi winglet aerodinamik. Menurut BMW, selain daripada menonjolkan rupa agresif M 1000 R ini, winglet tersebut juga berfungsi menghasilkan ‘downforce’ sehingga 10kg pada kelajuan 218km/j.
Brek pula dikendalikan cakera brek berkembar 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek 4-pot di depand an cakera brek 220mm dengan kaliper 1-pot dibelakang. Brek juga diselia dengan ABS Pro dan Brake Slide Assist.
Akhir sekali, segala informasi jentera boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna 6.4-inci.