Bikesrepublic

BMW R 18 Getaway – Al-Kisah 1,000KM Dengan Jentera 1802cc, 157Nm

Baru-baru ini kami berpeluang sertai BMW R 18 Getaway Malaysia atas jemputan BMW Motorrad Malaysia yang melibatkan tunggangan lebih 1000km dalam pengembaraan selama tiga hari dua malam bersama rakan media lain.

Kami juga diberikan jentera BMW R 18 Classic dan R 18 Pure untuk digunakan sepanjang pengembaraan tersebut sementara konvoi enam media pula diketuai BMW Motorrad Instructor, Faizal Sukree.

Hari Pertama (HQ BMW Cyberjaya – Cameron Highlands)

Hari pertama BMW  R 18 Getaway Malaysia membawa kami ke Cameron Highlands menerusi Sg Koyan dengan BMW R 18 Pure menjadi pilihan pertama.

Sebelum berlepas ke Cameron Highlands, kami sempat sarapan pagi di Bungalow 37, Bangsar. Dalam perjalanan meskipun menempuh trafik sesak ke Kuala Lumpur namun R 18 Pure berjaya diimbangkan dengan cukup baik walaupun celah kaki dimuatkan enjin 1800cc Big Boxer.

Percaya atau tidak, walaupun enjin besar gedabak itu diletakkan hanya beberapa inci dari kaki namun bahang enjin tidak dirasai, ketika menunggang ada juga yang berani merehatkan kaki di atas blok enjin tersebut, bila diri sendiri cuba, memang menyesal sebab panas tak terhingga!

Ketika diberitahu berat R 18 ini cecah 350 kilogram, tanggapan pertama memang dah terbayang rasa lelah nak tunggang di sekitar Cameron Higlands yang kadang kala sesak tapi jangkaan kami ternyata meleset sebabnya motosikal tersebut cukup mudah untuk dikendalikan.

Menyelusuri kawasan Sungai Koyan memang layan, walaupun kadang kala permukaan tak rata (ternyata banyak) membuatkan kami beberapa kali nak tercampak dari tempat duduk tapi bertongkatkan lengan yang sado, R 18 Pure ini memang mudah dijinakkan sehinggalah tiba di destinasi pertama di Cameron Highlands.

Hari Kedua (Cameron Highlands – Pulau Pinang)

Hari kedua memang dinantikan kerana dapat melenjan lagi BMW R 18 Pure kali ini melalui Simpang Pulai.

Ini juga merupakan hari di mana tempat letak kaki (footpeg) R 18 menjadi makanan selekoh tajam ketika turun dari Cameron Highlands. Status ‘footpeg’  pada BMR R18 Classic milik Faizal lebih parah, kerana dah patah dan tidak lagi menyerupai ‘footpeg’  yang normal.

Sebaik masuk ke Lebuhraya Utara Selatan, kami berhenti sekejap di RNR Sg Perak untuk tujuan mengisi minyak. Baru perasan R 18 Pure dan Classic ini boleh pergi sejauh 300km sekali isian penuh hasil bantuan tangki 17L. 

Waktu itu juga baru perasan, R 18 Pure ini kurang selesa untuk digunakan di lebuhraya kerana agak ‘bogel’ tidak seperti R 18 Classic yang dilengkapi penghadang angin tinggi yang menjaminkan tunggangan lebih selesa.

Tak lupa juga R 18 Classic dilengkapi fungsi ‘cruise control’ jadi tangan kanan tidak terasa bahana memulas ‘throttle’  tanpa henti seperti yang berlaku ketika tunggan R 18 Pure.

Apa yang lebih mengagumkan, kemampuan R 18 Pure dan Classic menyelinap di antara penduduk Pulau Pinang yang memandu dengan penuh ‘hemah’. Siapa tak berdebar, bila kena menunggang motosikal bernilai sekitar RM150 ribu dengan kelajuan kurang 60km/j  dikalangan pemandu Pulau Pinang yang sememangnya popular dengan sifat memahami.

Tetapi senario lebih mengejutkan berlaku di lokasi makan tengah di Deen Maju, kerana BMW Motorrad pastikan kami tak perlu beratur untuk masuk dalam sebab dah ada meja ‘VVIP’  yang menanti. Tabik hormat pada BMW Motorrad Malaysia.

Di sebelah petang, BMW Motorrad bawa kami merehatkan pinggul dan tulang belakang dengan pelayaran empat jam menaiki ‘catamaran’  melalui bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang sebelum bersambung dengan makan malam dan tidur yang cukup di G Hotel.

Hari Ketiga (Pulau Pinang – HQ BMW Cyberjaya)

Hari yang paling memenatkan bagi semua penunggang yang berkonvoi tak kira jauh atau dekat. Hari untuk pulang merupakan saat yang sememangnya memenatkan, bukan hanya perlu menempuh perjalanan berjam-jam tapi perlu kembali ke kehidupan realiti.

Sebelum berlepas, ketua konvoi, Faizal sempat menyampaikan sepatah dua kata dan peringatan bagi menjaminkan perjalanan pulang berlangsung selamat.

Tetapi penulis bernasib baik, sebab berpeluang ‘swap’  jentera dengan rakan media lain untuk menunggang R 18 Classic pula.

BMW R 18 Classic sememangnya dibina untuk tunggangan di lebuh raya, dan Lebuhraya Utara Selatan merupakan medan paling sesuai untuk tujuan itu.

Berbeza dengan R 18 Pure, varian Classic lebih mesra ‘highway’ kerana adanya kehadiran penghadang angin yang cukup tinggi.

Selain menjaminkan tunggangan lebih selesa kerana kurang pelanggaran angin, cermin tinggu itu juga memudahkan juga ‘throttle’  dipulas lebih dari kebiasaan untuk pergi lebih laju sedikit berbanding had laju kebangsaan.

Bukan itu sahaja, ciri ‘saddle bag’  juga membuatkan penunggang boleh menyimpan barangan dengan selamat tanpa perlu risau tentang cuaca. Kaki melancong ke Pulau Pinang semudah ABC boleh simpan jeruk yang dikirim Bentara Guru.

Menempuh pengembaraan lebih 1,000km bersama R 18 Classic dan Pure sememangnya satu pengalaman yang cukup mengujakan. Ini kali pertama petugas media diberikan layanan dan peluang untuk merasai sebuah jentera dengan suasana yang berbeza.

Jangan risau, acara BMW R18 Getaway ini sebenarnya terbuka untuk semua, dengan bayaran serendah RM3,350 (termasuk motosikal, hotel, makan dan sunset crusie) orang ramai boleh merasai pengalaman menunggang BMW R18 Classic dan Pure di samping menikmati pelbagai aktiviti menarik.

Bagi yang berminat, layari www.fsadventures.com.my untuk maklumat lanjut.





Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube