Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman cadang agar syarat khas dikenakan terhadap pemegang lesen memandu warga emas yang mahu memperbaharui lesen.
Cadangan itu dikemukakan Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias yang memaklumkan syarat khas itu bertujuan menjaga keselamatan golongan berusia dan pengguna jalan raya lain.
Baginya, faktor usia dan kesihatan boleh menyumbang kepada angka kemalangan seperti penyakit ‘alzheimer’ dan masalah mata.
“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya.
“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” jelasnya.
Antara syarat dicadangkan adalah memendekkan had jangka masa pembaharuan lesen agar penilaian lebih kerap dapat dilakukan terhadap golongan warga emas.
Pada masa sama, warga emas yang mahu memperbaharui lesen perlu ada pengesahan daripada doktor yang membuktikan individu berkenaan masih sihat dari segi fizikal dan mental untuk memandu.
“Sekarang, lesen memandu boleh diperbaharui sehingga tempoh lima tahun. Jika warga emas usia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia,” tambah Azisman. – BH