Bikesrepublic

CFMoto Bakal Lancar 250 CL-X Tahun Ini – 27.6hp, 22Nm

Selepas kejayaan 700 CL-X yang telah pun memasuki pasaran global termasuk di Malaysia, pengeluar motosikal China itu bakal memperkenalkan versi 250cc.

Motosikal bersesaran 250cc itu bakal mengikut acuan rekaan sama seperti 700 CL-X terutamanya konsep neo-retro yang menjadi identiti model tersebut.

Seperti 700 CL-X, model ini juga memaparkan rekaan depan yang unik dengan gabungan lampu LED bulat yang dipadankan bersama DRL (daytime running light). Bahagian tangki juga kekal dengan rekaan yang bersegi menyamai 700 CL-X.

Model 250 CL-X 2022 ini juga tampak sporty dengan pilihan warna dua tona serta rim aloi.

Ciri lain yang menonjol termasuk tempat duduk jenis ‘single-piece’, lampu belakang berbentuk X dan ‘rear-hugger’ di tayar belakang. Menurut CFMoto, 250 CL-X ini juga didatangkan dengan rim aloi 17-inci berwarna hitam.

Meskipun lebih kecil namun 250 CL-X ini masih lagi mengekalkan komponen premium antarnaya paparan digital LCD, lampu LED penuh, fork teleskopik jenis inverted, monoshock, cakera brek depan dan belakang serta fungsi ABS.

Sementara itu, 250 CL-X ini dilengkapi enjin satu silinder 250cc yang berupaya menghasilkan 27.6hp dan 22Nm manakala kuasa disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac assist/slipper.

Berdasarkan spesifikasi dan komponen, 250 CL-X ini dijangka memberi saingan sengit kepada KTM 250 Duke serta Husqvarna Svartpilen dan Vitpilen 250.

Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada versi 250 ini akan mendarat di Malaysia namun varian lebih besar, CFMoto 700 CL-X boleh didapati di pengedar tempatan pada harga RM28,800. – RushLane

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan