Negara sudah pun memasuki pertengahan bulan Ogos dan ini bermakna kita semakin hampir untuk menyaksikan penganjuran pameran motosikal pertama di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur menerusi Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS ’23).
Bakal berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dari 24 hingga 27 Ogos ini, KLBS’23 bakal menempatkan beberapa jenama motosikal dari Jepun, China dan Eropah.
Antara jenama yang akan turut serta memeriahkan penganjuran sulung KLBS’23 adalah CFMoto Malaysia. Berdasarkan perkongsian ‘teaser’ di Facebook, CFMoto Malaysia memberi bayangan ketibaan sebuah model baharu untuk pasaran negara.
‘Teaser’ tersebut tidak menerangkan model apa yang dimaksudkan namun berdasarkan kapsyen dinyatakan kami mungkin boleh rungkai model apa yang akan diperkenalkan.
Pertamanya, gambar teaser diguna pakai memaparkan sebuah motosikal dengan panel meter TFT jenis menegak. Melihat kepada model yang ditawarkan di pasaran dunia lain, hanya model ‘naked’ CFMoto 800NK didatangkan dengan panel meter jenis itu.
Namun, kapsyen pula menyebut “A New Adventure Awaits” yang memberi bayangan kepada ketibaan sebuah motosikal adventure baharu. Kenyataan itu mungkin merujuk kepada 700MT atau 800MT EXPLORE.
Apa pun jawapan sebenar berada ditangan pihak CFMoto Malaysia yang pastinya akan dirungkai di KLBS’23.