Bikesrepublic

Diuji: Honda BeAT 2016

Artikel oleh Sep Irran untuk Bikesrepublic.com
Terjemahan oleh Zarul Faiz

  • Pilihan skuter yang bagus untuk pelajar serta penunggang baru
  • 8.6hp, 9.1 tork, pengalaman menyeronokkan secara keseluruhan
  • Salah satu skuter kapasiti kecil yang paling selesa berada di pasaran sekarang

Ketika motosikal Honda BeAT dilancarkan pada bulan November tahun lalu, pemilik sasaran bagi skuter 110cc ini adalah para pelajar kolej yang mencari
bentuk pengangkutan yang berpatutan dan pada masa yang sama tampak moden. Skuter ini kelihatan seperti pilihan yang bagus dan Boon Siew Honda telah mengatur langkah yang bijak dengan memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lokasi pertama untuk memperkenalkan skuter terkini mereka ini.

Dengan begitu banyak pilihan skuter di pasaran hari ini, semestinya terlintas di benak fikiran mengapa perlu adanya sebuah lagi skuter berkapasiti kecil seperti Honda BeAT ini. Untuk mengetahui jawapannya, kami telah meminta sebuah unit untuk diuji dan Boon Siew dengan berbesar hati telah meminjamkan kepada kami sebuah unit selama seminggu. Keputusannya? Agak mengagumkan menurut salah seorang wartawan permotoran kami. TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelancaran Honda BeAT.

Pertama sekali, apakah keistimewaan yang ada pada motosikal ini? Salah satunya ialah motosikal ini merupakan antara sekumpulan kecil motosikal di
Malaysia yang telah mendapat status EEV (Kenderaan Cekap Tenaga). Bagi mendapatkan status EEV, motosikal ini seharusnya dapat mencapai jarak 100km dengan pengunaan bahanapi serendah 2.2 liter sahaja. Dengan kelajuan sederhana, Honda BeAT dengan mudah dapat mengembara sejauh itu, lebih-lebih lagi dengan penggunaan sistem suntikan bahanapi Honda, PGM-FI.

Rupa luarannya agak menarik dengan warnanya yang menggamit pandangan tanpa ia menjadi keterlaluan untuk mereka yang lebih berusia jika mereka
ingin menunggangnya untuk bersiar-siar atau ingin ke kedai berhampiran. Terdapat empat warna yang yang boleh dipilih dan kami telah memilih kemasan Vital Metallic Blue dan warna birunya nampak mempersonakan. Dari segi saiznya pula, ia agak kecil untuk wartawan kami yang berketinggian 171cm dengan berat 80kg, tapi kami jangkakan ia cukup sempurna untuk mereka yang bersusuk lebih kecil terutamanya pelajar.

Dilengkapkan dengan enjin satu silinder 110cc SOHC, Honda BeAT ini dapat menjana sehingga 8.66hp pada 7,500rpm dan 9.14Nm tork pada 6,000rpm.
Angka-angka ini bermakna ia dapat mencapai kelajuan yang lebih sedikit dari kelajuan lebuhraya namun keluaran prestasi optimum motosikal ini adalah pada 80km/j sehingga 100km/j. Ianya bukanlah skuter terpantas di pasaran tetapi yang agak mengejutkan, kami sejujurnya dapat berkata bahawa ianya merupakan salah satu skuter terselesa yang pernah kami cuba.

 

Pada kebiasaannya, motosikal kecil atau pun skuter lebih cenderung untuk bergegar apabila mencecah kelajuan yang agak tinggi tetapi tidak dengan Honda BeAT ini. Selain merupakan skuter yang paling senyap apabila dihidupkan, mendesak skuter kecil ini sehingga hadnya tanpa sebarang gegaran yang kuat adalah satu kelebihan yang besar bagi jentera kecil Honda ini. Seperti kebanyakan skuter, ia mempunyai sepit teleskopik yang sederhana di hadapan dan lengan buai yang juga kebiasaannya di bahagian belakang namun penyumbang terbesar kepada keselesaannya semestilah pada pengimbangan enjinnya serta aturcara transmisi automatik V-beltnya.

Terdapat penunjuk ECO pada meter digitalnya yang bergaya ‘sporty‘ untuk memimpin penunggang bagi mencapai tahap kecekapan bahanapi optimum tetapi kami terleka dengan keseronokan pecutan motosikal ini yang menyebabkan kami lupa mengenainya sama sekali.

Satu lagi kelebihan skuter Honda BeAT ini adalah Combi Brake System (CBS). Ianya amat berguna bagi penunggang baru kerana ia membantu menyesuaikan kedua-dua brek depan dan juga belakang apabila tuil brek belakang digunakan. Kepada mereka yang masih lagi tidak biasa mengawal kedua-dua brek bersama, sistem ini dapat memberi manfaat yang banyak buat mereka. Ia dapat membantu untuk menghentikan skuter in dengan cekap dan terkawal.

Satu-satunya isu adalah dengan aturcara kabel berganda ialah motosikal ini sedikit cenderung untuk menegakkan dirinya kembali apabila brek digunakan
ketika menyelekoh. Namun ini bukanlah isu yang besar kerana skuter ini hanya mampu mencapai kelajuan sehingga 115km/j sahaja.

Terdapat ruangan simpanan yang kecil di bawah pelana di sebelah tangki bahanapi 4 liternya yang dengan mudah dapat menyimpan sebarang barangan
peribadi dan kelengkapan hujan untuk pengalaman penunggangan cuaca basah tetapi tidak cukup besar untuk diisi dengan sebarang helmet. Kapasiti
bahanapinya bukanlah yang terbesar namun ia mampu merantau dengan jarak yang bagus sebelum ia perlu berhenti di stesen minyak terdekat bagi isian
semula.

Secara keseluruhannya, Honda BeAT 2016 ini merupakan sebuah jentera kecil yang cukup menakjubkan. Memandangkan betapa selesanya skuter ini, sukar
untuk merasionalisasikan pilihan lain jika ianya sudah ada apa yang diperlukan. Ianya kecil, ringan, cukup mudah untuk ditunggang dan juga cekap bahanapi.
Pilihan yang munasabah bagi mereka yang mencari sebuah jentera dua roda pertama mereka. Sebagai ibubapa, Honda BeAT adalah pilihan yang serius dan
pada masa yang sama, menyeronokkan jika anda mahukan satu bentuk pengangkutan yang bagus dan boleh diharap untuk anak-anak anda untuk bergerak ke dan juga dari sekolah, kolej, atau universiti.

Honda BeAt dipasarkan pada harga RM5,565 (harga asas dengan GST) dan setiap pembelian akan disertakan dengan plan waranti sehingga 2 tahun atau
20,000km daripada Boon Siew Honda. Jika ingin digambarkan skuter Honda BeAT ini dengan hanya satu perkataan, sudah semestinya ianya adalah ‘selesa‘.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan