Francesco Bagnaia sekali lagi muncul pelumba terpantas ketika sesi kelayakan di GP Misano sekaligus bakal bermula di petak pertama dalam perlumbaan pada Ahad.
Bagnaia turut berjaya memecahkan rekod catatan masa terpantas kali untuk dua minggu berturut-turut setelah melakukannya di GP Aragon, minggu lalu.
Jack Miller turut menghadirkan kegembiraan berganda buat Ducati apabila merekodkan masa kedua terpantas diikuti pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo yang melengkapkan barisan depan di petak ketiga.
Sementara itu, menyedari rakan sepasukan, Bagnaia, ketika ini hanya ketinggalan 53 mata di belakang Quartararo dalam perebutan kejuaraan dunia, Miller tekad memainkan peranan sebagai penghalang Quartararo dalam mengutip mata.
“Bagi saya, Pecco (Bagnaia) adalah pelumba terpantas di atas litar.
“Sudah tentu saya juga mahu memberikan saingan tetapi kita lihat apa yang akan berlaku nanti.
“Jika dia (Bagnaia) mahu mengukuhkan kedudukan di depan, saya gembira untuk bertindak sebagai penghalang kepada pesaing lain (merujuk kepada Quartararo).
“Tetapi saya rasa segalanya bergantung kepada permulaan perlumbaan pada Ahad,” jelasnya.
Catatan masa terpantas dalam dua minggu berturut-turut membuktikan Bagnaia sudah mula serasi dengan jentera GP21 Ducati dan lantas bakal menghadirkan cabaran sengit tatkala musim 2021 hanya berbaki empat pusingan selepas ini.