Meskipun 11 tahun tidak beraksi dengan jentera kapcai namun bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mudah mempamerkan dominasi apabila menjuarai Braaap Track Attack 2021 kategori MP150 Elite.
Berlangsung di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada Ahad, Hafizh yang beraksi bagi pasukan J Performance langsung tidak kekok meskipun beraksi dengan jentera jauh lebih kecil berbanding yang ditunggangnya beberapa tahun di MotoGP.
Meskipun berdepan nama besar dari pentas Cub Prix, Hafizh mendahului keseluruhan 15 lap di litar sepanjang 1.2km itu.
Walaupun pada mulanya mendapat saingan sengit dari rakan sepasukan, Izzat Zaidi yang bermula di petak pertama namun Hafizh tenang untuk terus merekodkan kemenangan kedua di Braaap Track Attack kategori MP150 selepas turut menjuarai Supermotard 450 pada Sabtu.
Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Syafiq Rasol yang ketinggalan 24 saat di belakang Hafizh dan Izzat.
Hafizh turut meluah rasa teruja atas kesempatan diberikan terhadapnya untuk memanaskan badan sebelum saingan Kejuaraan Superbike Dunia musim 2022 bermula.
“Saya sememangnya teruja dan seronok dapat mengimbas kenangan menunggang kapcai selepas 11 tahun tidak bawak kapcai.
“Memang amat rindu mengingat zaman dulu-dulu berlumba moto kapcai. Saya seronok setiap sesi pada hari ini dan saya cuba memahami litar go-kart ini di mana ini merupakan kali pertama saya race motor kapcai di sini,” jelasnya.
Ketika perlumbaan Supermotard 450 pada Sabtu, Hafizh turut melakar kejutan apabila muncul juara meskipun berdepan pelumba supermoto negara, Gabit Salleh.
Hafizh memenangi perlumbaan itu dengan penuh selesa apabila melintasi garisan penamat dengan jarak 33 saat daripada Gabit yang muncul tempat kedua diikuti Khairul Afif Ghazali ketiga.