Pengeluar motosikal Jepun, Honda dilaporkan telah memfaikan permohonan nama NX dan NX500 di Kesatuan Eropah, baru-baru ini.
Nama baharu itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Honda akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi.
Menariknya, kod nama NX500 itu mengembalikan nostalgia NX500 dan NX650 Dominator yang diperkenalkan Honda pada 1988 sehingga 2003.
Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa NX500 akan datang itu merujuk pada sebuah motosikal ‘dual sport’ atau ‘adventure’ seperti generasi NX500 terdahulu.
Apatah lagi permintaan terhadap motosikal seumpama itu semakin meningkat naik di seluruh dunia, maka tidak hairanlah jika NX500 bakal menjadi antara tawaran baharu Honda untuk pasaran global.
Honda CRF1100L, CB500X dan CRF250L Rally serta (akan datang) Transalp 750 menjadi bukti fizikal bahawa peminat motosikal ‘dual sport’ dan ADV meningkat saban tahun ekoran menawarkan ketahanan tinggi di samping ciri praktikal.
Penggunaan nama NX juga lebih relevan bagi menghidupkan semula legasi NX500 dan NX650 apatah lagi nama Dominator itu kini menjadi hak milik Norton Motorcycles.
Selain itu, nama NX juga sinonim dengan sejarah Honda di Dakar tatkala jentera prototaip Honda NXR750V dan NXR800V berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut dari 1986 hingga 1989.
Namun, berbeza seperti generasi NX500 sebelumnya yang menggunakan enjin satu silinder, NX500 terbaru ini pastinya digerakkan enjin parallel-twin 471cc yang sama terdapat pada CB500X.
Honda CB500X juga dijangka bakal menjadi asas utama pembangunan NX500 terutamanya bahagian kerangka dan swingarm namun digabungkan dengan rekaan yang lebih agresif dan lasak.
Honda juga telah memfailkan nama NX200 dan NX150 di beberapa negara Asia Tenggara yang secara langsung mencadangkan terdapat beberapa varian NX yang akan ditawarkan bersama NX500 tidak lama lagi.