Bikesrepublic

Ini 6 Motosikal Bakal Masuk Malaysia Tahun Ini

Tahun baharu membawa pelbagai makna kepada rakyat Malaysia, ada yang mungkin teruja memulakan azam baharu ada pula yang gembira bakal menamatkan zaman bujang. 

Namun, bagi peminat dua roda, tahun baru juga bermakna ada model baharu yang akan dipasarkan di Malaysia.

Berdasarkan beberapa info yang berjaya kami perolehi sebelum ini, kami senarai enam motosikal baharu yang akan dipasarkan di Malaysia tahun ini. 

1. BMW CE-04

BMW Motorrad Malaysia bakal merancakkan pasaran motosikal elektrik di Malaysia dengan melancarkan CE-04 bulan Mac tahun ini. 

Model skuter elektrik itu telah pun dipertonton kepada umum pada 11 Januari lalu dengan pihak BMW mendedahkan motosikal terbabit akan dijual pada harga sekitar RM60,000. 

Untuk rekod, BMW CE 04 dikuasakan motor elektrik dengan penyejukan cecair yang berupaya menjana 42hp pada 4,900rpm dan 62Nm. Angka kuasa itu sekaligus menjadikan CE 04 mirip skuter berenjin petrol. 

2. Modenas Dominar 250

Sejak pelancaran Dominar 400, Modenas agak menyepi kecuali sibuk dengan mempromosikan jenama Kawasaki di Malaysia. 

Namun, kami difahamkan bahawa Modenas akan memperkembangkan barisan model Bajaj – yang dijenamakan semula – menerusi Dominar 250. 

Bernadikan enjin KTM Duke 250, Dominar 250 sertai barisan jentera bersesaran 250cc lain antaranya, Yamaha R25, Honda CB250, KTM Duke 250 dan Ninja 250.

Bagaimanapun, sebagai motosikal berkonsepkan ‘touring’, enjin 248cc satu silinder DOHC itu telah ditala untuk menghasilkan 27hp pada 8,500rpm dan 23.5Nm pada 6,500rpm berbanding DUKE 250 yang menjana 29.6hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,500rpm.

3. CFMoto 450SR

Pihak CFMoto Malaysia telah pun mengesahkan bahawa model ‘sportsbike’ baharu, 450SR akan dipasarkan di Malaysia bermula Mac tahun ini. 

Pengumuman itu dibuat sewaktu musim MotoGP Malaysia pada November tahun lalu. 

Bagaimanapun, kami telah pun dimaklumkan bahawa pengurusan jenama CFMoto di Malaysia akan berpindah milik ke pihak MForce Bike Holdings berkuat kuasa Mac ini sekaligus mungkin memberi kesan pada pelancaran rasmi model tersebut. 

CFMoto 450SR merupakan jentera sportsbike bernadikan enjin parallel-twin 449cc dengan ‘270-degree crank’ yang berkeupayaan menghasilkan 50hp dan 39Nm.

Selain daripada enjin berkuasa, CFMoto 450SR juga datang dengan rekaan yang sporty dan agresif termasuk menawarkan ciri ‘winglet’ yang terdapat pada model prototaip SR-C21 sebelum ini.

4. Moto Morini Seiemmezzo 

Jenama Moto Morini semakin mendapat perhatian di Malaysia terutamanya menerusi model ‘adventure’, X-Cape 650 dan X-Cape 650 X. 

Manakan tidak, jenama Itali itu yang dipasarkan pihak MForce disini  boleh dimiliki pada harga sekitar RM40,000 sahaja. Namun, MForce akan kembangkan lagi model Moto Morini menerusi Seiemmezzo. 

Seiemmezzo merupakan bahasa Itali yang bermaksud enam setengah sekaligus merujuk kepada kapsasiti enjin 650cc. 

Moto Morini Seiemmezzo STR/SCR dikuasakan enjin parallel-twin 649cc dengan penyejukan cecair yang menawarkan 61hp dan 54Nm. Enjin tersebut merupakan yang sama terdapat pada X-Cape 650 yang ditawarkan di Malaysia ketika ini. 

5. Suzuki GSX-8S

Meskipun baru sahaja diperkenalkan di EICMA tahun lalu, motosikal berkonsepkan ‘naked’ itu dijangka masuk Malaysia pada penghujung suku pertama tahun ini. 

Perkara itu didedahkan sendiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Ahmad Faez Yahaya dalam perkongsiannya di media sosial. 

Untuk rekod, Suzuki GSX-8S ini merupakan entri terbaru bagi segmen motosikal naked dan dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC serba baharu yang dibangunkan di Hamamatsu. 

Enjin tersebut direka bagi menghasilkan kuasa pada rev rendah di samping dlengkapi dengan Suzuki Cross Balancer, yang menjaminkan tahap gegaran yang lebih rendah. Platform baharu itu menghasilkan 81.7hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm dan dikawal oleh sistem ‘ride-by-wire’. 

6. Modenas Ninja ZX-25R

Setelah beberapa tahun penantian, model yang ditunggu-tunggu, Kawasaki Ninja ZX-25R akan dipasarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini. 

Bagaimanapun, kami diberitahu model itu akan dipasang di Gurun, Kedah dan akan dijenamakan semula sebagai Modenas. 

Difahamkan, model yang akan dipasarkan nanti adalah varian ABS SE, yang merupakan varian tertinggi yang ketika ini ditawarkan di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-25R dilengkapi dengan enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves) yang berupaya menghasilkan 51hp pada 15,500rpm (dengan RAM Air) dan 22.9Nm pada 14,500rpm. 

Apa yang pasti, kami menjangkakan tawaran harga yang menawarik dari Modenas bagi model ‘4-dapur’ ini. 

Demikian enam model yang dijadualkan akan memasuki pasaran tempatan tahun ini. Namun, terdapat beberapa model lain yang kami jangka akan turut diperkenalkan tahun ini antarnaya Yamaha X-Max 250 Tech MAX.

Dalam pada itu beberapa model MV Agusta dan Fantic Motor juga akan dipasarkan di Malaysia tahun ini menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI). 

Kami juga menjangkakan terdapat lebih banyak model yang akan diperkenalkan tahun ini termasuk daripada Ducati Malaysia, Boon Siew Honda dan beberapa lagi jenama lain. 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube