Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk tidak melarikan diri daripada sekatan jalan raya kerana boleh mencetuskan kemalangan yang boleh menggugat nyawa sendiri dan orang lain termasuk polis yang bertugas.
Peringatan itu disampaikan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.
“Sekatan jalan raya adalah bagi memeriksa kesalahan oleh pengguna jalan raya. Rutin tersebut tidak melibatkan kes jenayah jadi tidak perlu melarikan diri.
“Kami bimbang jika mereka cuba larikan diri, mereka akan berdepan risiko yang lebih tinggi termasuk dilanggar kenderaan lain,” jelasnya.
Mat Kasim membuat kenyataan tersebut susulan insiden terbaru apabila seorang anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang remaja 22 tahun yang cuba melarikan diri sewaktu ‘snap check’ di jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Jelas Mat Kasim, penunggang motosikal terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan ekoran menghalang penjawat awam melakukan tugas. – SH