Bikesrepublic

Kawasaki Indonesia Lancar Ninja ZX-25RR 2023 – Skrin TFT, Suspensi Baharu

Kawasaki Indonesia telah pun melancarkan Ninja ZX-25RR 2023 untuk pasaran negara itu, baru-baru ini.

Ketika ramai menjangkakan ketibaan Ninja ZX-4R, jangkaan itu nyata meleset apabila Kawasaki Indonesia memperkenalkan generasi baharu Ninja ZX-25R.

Menariknya bagi model 2023, Kawasaki memperkenalkan ZX-25RR, varian ‘flagship’ terbaru bagi model 250cc 4-silinder itu.

Untuk rekod, Kawasaki Indonesia memperkenalkan tiga varian kesemuanya, termasuk Ninja ZX-25R (Standard), Ninja ZX-25R ABS SE dan Ninja ZX-25RR. 

Bagaimanapun, tumpuan harus diberikan kepada varian tertinggi yang tampil dengan beberapa ciri baharu bagi tahun 2023. 

Pertamanya, Kawasaki Ninja ZX-25RR menampilkan skrin TFT serba baharu menggantikan paparan analog dan digital pada model sebelumnya.

Menariknya, kehadiran skrin TFT itu juga menyaksikan Ninja ZX-25RR menawarkan fungsi ‘lap timer’ seperti yang terdapat pada ZX-10R. 

Skrin TFT tersebut juga boleh dihubung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology. 

Selain itu, Kawasaki Ninja ZX-25RR juga didatangkan dengan fork depan Showa Separate Function Fork-Big Piston 37mm dan monoshock belakang  BFRC boleh laras yang turut diilhamkan dari ZX-10R. Namun ciri tersebut tidak terdapat pada varian Standard dan ABS SE yang masih lagi dilengkapi sistem suspensi sama seperti model sebelum ini.

Pada masa sama, ketiga-tiga varian juga telah dinaik taraf dengan lampu isyarat jenis LED. 

Ciri ‘quickshifter’ juga dikekalkan bagi varian ABS SE dan kini dibawa pada varian ZX-25RR. Namun begitu, fungsi tersebut tidak terdapat pada varian Standard.

Tidak cukup dengan itu, sistem ekzos juga telah dipertingkat dan kini mencapai standard Euro 4. 

Namun begitu, Kawasaki Ninja ZX-25RR masih lagi dikuasakan enjin 249.8cc empat silinder DOHC 16-valve dengan penyejukan cecair yang berkemampuan menghasilkan 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm pada 14,500rpm.

Menurut Kawasaki Indonesia, versi Standard didapati dalam warna hitam sahaja manakala varian ABS SE tampil dengan dua warna, Candy Persimmon Red dan Metallic Matt Graphite Steel Grey. 

Sementara itu, varian tertinggi, Kawasaki Ninja ZX-25RR tampil dengan warna Lime Green yang menawarkan livery Kawasaki Racing Team (KRT). 

Memandangkan Kawasaki Malaysia menerusi pengedar baharu, MODENAS, memaklumkan bahawa ZX-25R akan memasuki pasaran negara pada tahun 2023, kami berharap model tersebut akan turut disertakan varian ZX-25RR terbaru ini.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan