Bikesrepublic

Kawasaki Ninja 250 2018 Dilancarkan Secara Rasmi di AOS 2018 – RM23,000

  • Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) telah memperkenalkan motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 terkini mereka.
  • Tawaran 250cc terbaru mereka itu telah dirombak semula dari mula dengan reka bentuk serba baharu dan prestasi dipertingkatkan.
  • Motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 baharu ini akan tiba di bilik pameran bermula bulan Ogos dengan harga RM23,071.10 (harga asas dengan GST 0%).

Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) dengan secara rasminya telah memperkenalkan motosikal lumba 250cc generasi terkini mereka, iaitu Kawasaki Ninja 250 2018. Motosikal Ninja 250 yang baharu ini telah dilancarkan secara rasmi di Art of Speed Malaysia 2018 yang sedang berlangsung di MAEPS Serdang.

Dengan segmen motosikal lumba 250cc yang semakin hari semakin berdaya saing, jentera Ninja 250 yang baharu ini tampil dengan reka bentuk serba baharu yang telah diilhamkan oleh ‘abang-abangnya’ yang lebih besar dan berkuasa. Menerapkan elemen dari jentera pemenang kejohanan WorldSBK, Ninja ZX-10R, hinggalah ke pelesit lebuh raya, ZX-14R, setiap aspek pada Ninja 250 baharu ini telah direka semula dari mula.

Dari bahagian hadapannya, lampu hadapan LED berganda yang serba baharu memberikannya rupa yang lebih agresif dan pencahayaan yang lebih baik yang telah dirumahkan dalam reraup hadapan rekaan baharu. Motosikal Ninja 250 2018 ini tampak amat berkuasa dan pantas walaupun dalam keadaan pegun.

Bagi mengangkat lagi tarikan motosikal besarnya, panel instrumen yang sama seperti yang ada pada Kawasaki Ninja 650 telah diterapkan pada jentera 250cc terbaru Kawasaki ini, yang mana menampilkan speedometer digital, takometer tradisional, dan penunjuk gear untuk kemudahan penunggangan di atas litar mahu pun jalan raya.

Dijana oleh enjin 249cc, dwi-silinder, lapan-injap, DOHC serba baharu, Kawasaki Ninja 250 2018 baharu ini mampu menghasilkan sehingga 38.2hp pada 12,500rpm dan 23.5Nm tork maksimum apabila mencecah 10,000rpm. Keseluruhan kuasa ini dipacu ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan yang dipertingkatkan dengan klac ‘assist-and-slipper’ Kawasaki untuk kemudahan penunggangan.

Aspek menarik yang lain termasuklah:

  • Penutup kipas radiator yang dirombak semula yang membantu menepiskan angin panas jauh dari penunggang.
  • Lohong masukan ‘downdraft’ yang dirombak semula untuk meningkatkan prestasi.
  • Lampu belakang LED berilhamkan ZX-10R.
  • Ergonomik tunggangan yang dipertingkatkan untuk keselesaan keseluruhan yang lebih baik.
  • 164kg (berat basah).
  • Tangki bahanapi 14 liter.
  • Cakera brek hadapan separa terapung 310mm dengan angkup dua omboh.
  • Cakera brek belakang 220mm dengan angkup dua omboh.
  • Fork hadapan teleskopik 41mm.

Motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 baharu ini akan tiba di bilik pameran di seluruh negara pada pertengahan bulan Ogos dengan harga RM23,071.10 (harga asas dengan GST 0%). Dua kemasan warna akan disediakan, iaitu:

  • Passion Red / Metallic Flat Spark Black
  • Pearl Solar Yellow / Pearl Storm Gray / Ebony

Selain daripada Ninja 250 yang baru dilancarkan, KMSB juga turut memperkenalkan sebuah motosikal Kawasaki Z650 edisi khas yang digelar Kawasaki Z650 Scrambler 2018. Motosikal Z650 yang diperkemaskini ini tampil dengan tarikan yang lebih teguh dan ianya istimewa untuk pasaran Malaysia.

Berdasarkan rupa bentuknya, motosikal 650 Scrambler ini muncul dengan tarikan ‘flat tracker’, lengkap dengan nombor perlumbaan terpapar megah pada bahagian sisinya, sistem ekzos yang diperkemaskini, dan skema warna yang sedia menghadapi sebarang cabaran di hadapannya.

KMSB juga turut memperkenalkan dua motosikal Kawasaki Z125 edisi khas yang tampil dengan kemasan grafik berinspirasikan “Anak Malaysia” dan “Iron Man”. Harga bagi kedua-dua Kawasaki Z650 Scrambler dan Z125 edisi khas masih belum diumumkan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layarilah www.kawasaki.com.my.

Rangkaian Motosikal Kawasaki Ninja – Adanya Sebuah Motosikal Ninja Untuk Setiap Orang!

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube