Bikesrepublic

KEMAS KINI: 5 Model Kawasaki Yang Mungkin Dijenamakan Semula MODENAS

Baru-baru ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah pun disahkan mengambil alih tugas KMSB selaku pengedar baharu jenama Kawasaki di Malaysia.

Perkembangan terbaru ini telah pun dijangka berlaku sebelum ini tatkala Kawasaki Heavy Industries (KHI) telah pun membeli 14.3 juta unit saham Modenas setelah pemeteraian perjanjian bersama syarikat induk DRB-Hicom Berhad.

Perjanjian ini menyaksikan KHI – yang sebelum ini memegang ekuiti 19 peratus – meningkatkan pegangan kepada 30 peratus sekaligus membolehkan KHI terlibat dalam operasi MODENAS lantas membawa kepada peralihan daripada KMSB ke EMOS.

Ini bermakna Modenas akan mengendalikan semua aspek pengedaran membabitkan Kawasaki bermula 1 Oktober 2021 termasuklah motosikal, alat ganti, servis selepas jualan serta khidmat pelanggan.

Pada masa sama, kami juga dimaklumkan sebelum ini bahawa perjanjian tersebut turut akan menyaksikan Modenas melakukan penjenamaan semula terhadap beberapa model Kawasaki dari 250 hingga 650cc yang turut akan dipasang di kilang Modenas terletak di Gurun, Kedah.

Berikut lima model yang kami jangka akan membawa lencana MODENAS di Malaysia:

1. Kawasaki Ninja 250 SE ABS

Ini bukanlah satu kejutan ekoran MODENAS telah pun menayangkan model ini sewaktu pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 , tahun lalu.

Tampil dengan pilihan warna serba hitam, Ninja 250 SE ABS ini dikuasakan enjin parallel twin 249cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 38.4hp pada 12,500rpm dan 23.5Nm pada 10,000rpm.

Seperti model lain yang dijenamakan semula oleh MODENAS antaranya Dominar dan Pulsar, Ninja 250 ini juga mengekalkan kesemua spesifikasi yang sama ditawarkan Kawasaki.

2. Kawasaki Versys-X 250

Sebuah lagi model dicanang akan dijenamakan semula oleh Modenas.

Versys-X 250 merupakan motosikal segmen adventure yang digerakan enjin 249cc parallel-twin dengan suntikan bahan api ‘dual throttle valves’ yang menjana 33.5hp pada 11,500rpm dan 21.7Nm pada 10,000rpm.

Model ini dijangka bakal menjadi antara yang terlaris ekoran mempunyai ciri yang praktikal sebagai tunggangan harian mahupun jarak jauh di hujung minggu dengan bantuan tangki 17L.

3. Kawasaki Z650 ABS

Motosikal segmen naked ini merupakan antara model yang popular di Malaysia.

Berkonsepkan ‘Sugomi’, Z650 menggabungkan rekaan yang agresif dengan ciri yang praktikal serta enjin parallel-twin 649cc yang cukup berkuasa.

Dengan nisbah mampatan 10.8:1, Z650 ini menawarkan 67hp dan 65.7Nm pada 6,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Selain daripada sistem membrek dengan bantuan ABS, model ini juga didatangkan dengan cakera brek 300mm depan dengan kaliper 2-piston dan 220mm belakang.

Penggunaan kerangka jenis trellis dengan kekuatan tegangan tinggi menjadikan Z650 antara model yang mudah dikendalikan di jalan raya.

4. Kawasaki Ninja 650 ABS

Ninja 650 merupakan antara model yang turut mencuri perhatian setelah diperkenalkan Kawasaki bagi menggantikan ER6-F sebelum ini.

Menariknya, model baharu ini mendapat sentuhan inspirasi daripada ZX-6R sekaligus tampil sporty.

Meskipun berimej agresif, namun Ninja 650 meneruskan kesinambungan ER6-f sebagai model yang selesa ekoran menawarkan ergonomik lebih menegak dan kedudukan ‘handlebar’ yang lebih tinggi.

Ninja 650 dihidupkan dengan enjin sama ditawarkan Z650 dengan 67hp pada 8,000rpm dan 63.72Nm pada 6,700rpm.

Bagi menjamin keselesaan menunggang, Ninja 650 didatangkan dengan fork teleskopik hidraulik 41mm depan dan spring boleh laras (horizontal back-link) di belakang.

5. Kawasaki Versys 650

Versys 650 sememangnya antara model ‘touring’ popular di Malaysia ekoran menawarkan harga dan sokongan servis selepas jualan yang berpatutan.

Sekiranya dijenamakan semula oleh MODENAS, pastinya akan terdapat pertambahan Versys 650 disini.

Bercirikan model touring, Versys 650 tampil dengan penghadang angin tinggi, tempat duduk yang selesa dan menegak untuk penunggang dan pembonceng selain daripada kapasiti tangki 21L.

Model ini dilengkapi enjin parallel-twin 649cc DOHC yang menawarkan 68.05hp dan 61Nm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Versys 650 ini juga didatangkan dengan ciri Dual Throttle Valve, Economical Riding Indicator dan ABS.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • kerangka jenis double-pie diamond
  • tayar 120/70-17 depan
  • tayar 160/60-17 belakang
  • cakera brek 300mm depan
  • cakera brek 250mm belakang

Meskipun info ini dikongsikan pihak Modenas sendiri namun perlu diingatkan segalanya hanya boleh dianggap sebagai satu spekulasi sehinggalah syarikat tempatan itu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini.

Terdapat beberapa lagi model yang wajar disebut antaranya ZX-25R, KLR650 dan terbaru Z650RS namun setakat ini tiada sebarang info sama ada ketiga-tiga ini akan terlibat dalam barisan model yang akan dijenamakan semula MODENAS.

Apa yang pasti, kita nantikan pengumuman seterusnya daripada pihak Modenas.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube