Pasukan penguatkuasa Unit Taktikal dan Serbuan di bawah Seksyen Siasatan dan Serbuan, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah berjaya merampas lebih 4,000 unit produk tiruan yang menggunakan jenama GIVI dalam satu serbuan di sebuah premis di Puchong, Selangor.
Hasil risikan dan pemantaun selama tiga bulan itu dengan kerjasama GIVI Malaysia menyaksikan premis tersebut didapati menjual produk tiruan GIVI. Antara yang disita adalah 4,046 unit baju hujan dan 202 pasang kasut hujan dengan kedua-duanya menggunakan cap pemerdagangan GIVI.
Menurut GIVI Malaysia dalam satu kenyataan, premis tersebut menjadi tempat pembungkusan barangan yang dibeli pelanggan menerusi platform atas talian seperti Shopee, Lazada dan TikTok.
Dalam pada itu, pasukan penguatkuasa juga telah menahan dua individu di premis terbabit termasuk menyita peralatan dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan.
Kes kini disiasat dibawah Akta Cap Dagangan 2019.