Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) Anih Bhd (Anih) menjangkakan kira-kira 2,352,000 kenderaan menggunakan lebuh raya berkenaan antara 8 hingga 11 Julai ini sempena sambutan Aidiladha.
Pengurus Besar Kanan Anih, Radzimah Mohd Radzi, berkata kerana itu pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk menambah petugas dan anggota sebagai persediaan mengaktifkan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.
“Pertambahan ini juga membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkat tahap persediaan di semua kemudahan lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua hentian sebelah dan kawasan rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anih juga katanya mencadangkan beberapa waktu perjalanan menerusi jadual cadangan perjalanan demi menjamin keselesaan pengguna lebuh raya tersebut.
“Antara cadangan waktu perjalanan pada 8 Julai dan 9 Julai bagi penguna lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor memasuki Plaza Tol Gombak adalah 10 pagi hingga 1 tengah hari ke Pahang, pukul 6 pagi hingga 10 pagi pula menuju ke Terengganu serta Kelantan.
“Bagi perjalanan ke semua destinasi, waktu perjalanan bebas pada 12 tengah malam hingga 6 pagi,” katanya.
Selain itu menurut Radziman kenderaan ringan disaran mengelak memasuki plaza tol antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam kerana ia merupakan waktu bas ekspres ke Pantai Timur memasuki tol Gombak pada tarikh-tarikh berkenaan.
Jelasnya pada 11 Julai pula pengguna dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya tersebut antara 6 pagi hingga 10 pagi untuk pengguna dari Pahang, manakala dari Terengganu pula antara 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Untuk perjalanan semua destinasi pula katanya adalah antara 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Untuk maklumat lanjut, pengguna lebuh raya boleh merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau Anih di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik atau Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia serta @Lebuhraya Pantai Timur atau menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700.