Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, berjaya menamatkan aksi di dalam kelompok 10 terbaik di GP Itali, hari ini.
Meskipun memulakan aksi di petak ke-20 namun pelumba NTS RW Racing itu tidak berputus asa sebaliknya memperbaiki kedudukan sepanjang perlumbaan.
Dia kemudiannya berjaya menamatkan aksi di Mugello dikedudukan ke-9 meskipun berpeluang cerah menduduki tempat ke-8 sebelum dipintas beberapa meter dari garisan penamat oleh Cameron Beaubier dari pasukan American Racing.
Kejayaan ini sekaligus melunaskan sasaran Hafizh yang sebelum ini meluahkan keyakinan untuk menduduki kelompok 10 terbaik selepas mula mencapai keserasian dengan chasis NTS itu.
Hafizh kini menghuni kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-21 dengan kutipan 8 mata selepas enam pusingan.
Sementara itu, rakan sepasukan dan pelumba muda, Barry Baltus menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.
Pada masa sama, Red Bull KTM Ajo merekodkan kemenangan satu-dua menerusi Remy Gardner dan Raul Fernandez manakala Marco Bezzechi melengkapkan podium di kedudukan ketiga.
Aksi Moto2 dibayangi berita pemergian pelumba Moto3, Jason Dupasquier yang disahkan meninggal dunia susulan mengalami kemalangan serius ketika sesi kelayakan, semalam.
Berikut keputusan penuh Moto2: