Kejuaraan Dunia Moto3 yang berlangsung di Portimao menyaksikan pelumba KTM Ajo Pedro Acosta muncul juara dunia setelah memenangi GP Algarve.
Acosta muncul pelumba pertama dalam sejarah Moto3 yang berjaya merangkul kejuaraan dalam musim pertamanya.
Kejayaan tersebut tiba selepas pencabar terdekat, Dennis Foggia gagal menamatkan perlumbaan ekoran kemalangan.
Ketika mendahului perlumbaan memasuki lap terakhir sebelum dipintas semula Acosta, Foggia telah dilanggar pelumba Petronas Sprinta Racing, Darryn Binder di Turn 3.
Insiden tersebut sekaligus menyaksikan Acosta disahkan juara dunia baharu Moto3 sementara Binder yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, dibatalkan kelayakan ekoran insiden membahayakan tersebut.
Sewaktu perlumbaan berakhir, Binder besama-sama pengurus pasukan Johann Stigefelt dilihat jalan ke garaj Leopard Racing bagi membuat permohonan maaf.
Bagaimanapun, pelumba Afrika Selatan itu serta merta dihalau pasukan tersebut ekoran berang dengan insiden pelanggaran itu.
Foggia turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Binder selepas insiden itu.
“Ketika dia (Binder) datang untuk memohon maaf, saya teringat apa yang berlaku musim lalu.
“Perlumbaan pertama musim ini juga dia lakukan perkara sama. Sentiasa pelumba yang sama melakukan perkara sedemikian dan musim depan dia akan beraksi di MotoGP,” kata Foggia.