Bikesrepublic

MotoGP: Apa Yang Kena Tahu Tentang Ujian Pra-Musim Di Sepang

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi destinasi sulung bagi permulaan musim 2022 dengan menjadi tuan rumah bagi ujian pra-musim rasmi.

Dengan beberapa pelumba sedah pun mula tiba di Malaysia, SIC bakal menjadi medan ujian sulung bagi menguji kemampuan jentera 2022 masing-masing sebelum pusingan pertama bermula.

Bagaimanapun, sebelum pelumba prolifik seperti pertahan juara, Fabio Quartararo dan enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez turun beraksi, pelumba uji setiap pasukan akan turun terlebih dahulu bagi menguji jentera 2022 masing-masing di litar tertutup dikenali Shakedown Test.

Kemudian, pasukan Suzuki Ecstar dan Monster Energy Yamaha dijadualkan mengadakan pelancaran pasukan  pada 4 Februari (Jumaat) di Sepang.

Pelumba tonggak pasukan masing-masing kemudiannya akan turun ke litar bagi ujian rasmi pada 5 dan 6 Februari.

Berdasarkan maklumat awal diperolehi, penonton yang sudah lengkap vaksinasi juga akan dibenarkan untuk menyaksikan sesi ujian pra-musim tersebut namun akan termaktub pada pengumuman rasmi oleh pihak SIC nanti.

Sementara itu, Marquez yang sebelum ini dipalit kecederaan selepas mengalami diplopia (double vision) disahkan akan turut serta ujian pra-musim dengan jentera RC213V terbaru.

Suzuki juga mencuri tumpuan kerana dijangkakan jentera GSX-RR kali ini jauh lebih baik berbanding musim sebelumnya dalam usaha kembali mencabar kejuaraan selepas kekecewaan musim lalu.

Kem Ducati juga akan jadi fokus kali ini selepas Pecco Bagnaia hanya dipisahkan 26 mata dibelakang juara, Quartararo manakala KTM dan Aprilia akan terus cuba membuat kejutan menerusi gandingan Brad Binder dan Miguel Oliveira serta Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Sementara itu, Quartararo dijangka akan kekal sebagai pilihan utama kali ini dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan dimenanginya musim lalu apatah lagi terdapat pepatah di MotoGP bahawa menang kali kedua berturut-turut barulah akan mengesahkan kejuaraan yang pertama.

Pasukan baharu, WithU Yamaha RNF MotoGP Racing Team juga akan berada dalam pemerhatian peminat MotoGP terutamanya di Malaysia yang mahu menyaksikan apakah kemampuan pengasas dan prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali dalam membawa cabaran itu musim ini setelah terkuburnya Petronas SRT hujung musim lalu.

Prestasi Andrea Dovizioso dan Darryn Binder juga akan dipantau dan diharapkan dapat menghadirkan keputusan memberangsangkan seandainya mahu dielak menjadi bahan kritikan peminat di Malaysia.

Dovizioso akan beraksi dengan jentera factory-spec YZR-M1 2022 sementara Binder diberikan jentera 2021.

Pada masa sama, kem Tech3 KTM juga mencuri tumpuan kerana bakal menurunkan juara dan naib juara Moto2, Remy Gardner dan Raul Fernandez.

Kedua-dua pelumba itu bersaing sengit sebagai rakan sepasukan musim lalu dan persaingan itu dijangka akan diteruskan musim ini dengan jentera RC16 terbaru.

Ujian pra-musim di Sepang dijangka akan berlangsung penuh aksi dan memberi peluang kepada orang ramai membuat ramalan awal apakah yang boleh dijangka pada pembukaan musim 2022 nanti.

Kami juga akan membawakan perkembangan semasa sepanjang ujian pra-musim berlangsung.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan