Bikesrepublic

MotoGP: Darryn Binder Dapat Lampu Hijau Uji Yamaha M1 Di Brno

Pelumba Petronas Sprinta Racing Moto3, Darryn Binder, akan diberi peluang menguji jentera Yamaha M1 di Brno, Republik Czech.

Keputusan itu bukan satu kejutan tatkala adik kepada Brad Binder itu dicanang akan naik ke kelas premier bersama pasukan satelit Yamaha SRT bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Valentino Rossi dan Franco Morbidelli memasuki musim 2022.

Rossi disahkan akan bersara hujung musim ini sementara Franco Morbidelli didakwa akan diangkat ke pasukan factory Yamaha.

Pada masa sama, Binder juga dilaporkan akan digandingkan dengan pelumba Sprinta Racing Moto2, Jake Dixon.

Sejauh mana dakwaan itu masih belum dapat dipastikan apatah lagi pelumba Britain itu jauh ketinggalan dalam kejuaraan dunia Moto2 di tempat ke-19 berbanding rakan sepasukan, Xavi Vierge, di tempat ke-10, ketika ini.

Sekiranya gandingan Binder dan Dixon disahkan, kedua-duanya bakal menjadi pelumba baharu bagi pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Johan Stigefelt yang akan bergerak sebagai entiti baharu musim depan setelah kerjasama dengan Petronas (selaku penaja utama) dan SIC berakhir hujung musim ini.

Meskipun SRT memberi peluang kepada pelumba WorldSBK, Garret Gerloff, untuk dua pusingan sebelum ini, pelumba itu dilihat gagal menarik perhatian Yamaha.

Sementara itu, Toprak Razgatlioglu, dikatakan turut menolak tawaran sertai SRT dan telah pun menandatangani kontrak lanjutan dua tahun dalam usaha merebut kejuaraan WorldSBK.

Razgatlioglu hanya ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu, Jonathan Rea (Kawasaki) setelah merekodkan lima kemenangan daripada 10 perlumbaan. – GPOne

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube