Marc Marquez menegaskan sasaran utamanya adalah untuk kekal bersama Honda namun tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke pasukan lain seperti Ducati.
Marquez telah bersama Honda sepanjang kariernya dan walaupun Ducati sendiri telah menafikan khabar angin yang kaitkan pasukan Itali itu dengan Marquez, desas-desas tersebut masih lagi bertebaran.
Antara yang buka mulut mengenai khabar angin itu adalah lima kali juara dunia, Jorge Lorenzo yang menjangkakan Marquez akan ke Ducati sama ada sertai pasukan ‘factory’ ataupun satelit.
Bagaimanapun, Marquez tekad mahu kekal bersama Honda meskipun kontraknya tamat pada 2024.
“Jorge (Lorenzo) seorang pelumba yang hebat tetapi kita lihiat jika dia juga hebat dalam membuat tekaan.
“Apa pun, saya masih mempunyai baki kontrak bersama Honda dan saya kekal komited kepada mereka.
“Mereka (Honda) akan tetap menjadi pelan A saya tetapi pada masa sama saya akan terus mencari projek yang boleh menyumbang kejuaraan. Saya tak kisah tetang warna, nama atau pasukan nama,” jelas enam kali juara dunia MotoGP itu.
Walaupun beberapa tahun ini kurang memberangsangkan bagi Marquez namun mengambil kira kejayaan beberapa tahun sebelum ini Honda tetap keutamaan.
“Saya masih percaya pada Honda. Memang benar keadaan semasa agak sukar tetapi kami masih lagi mampu bersaing ketika di Le Mans. Saya tak tengok pada Honda sebaliknya pada diri sendiri,” tambahnya.
Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Mugello.