Bikesrepublic

MotoGP: Quartararo Menang Di Sachsenring, Bagnaia Terus Malang

Fabio Quartararo terus selesa mendahului kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 apabila merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Jerman.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu bingkas mendahului perlumbaan sejak dimulakan dan meskipun terdapat asakan daripada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia namun Quartararo kekal tenang untuk terus berada di depan.

Kedudukan Quartararo bertambah selesa apabila Bagnaia kemalangan ketika lap kelima sekaligus menyaksikan pelumba Perancis itu selesa di depan sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat selaku pemenang buat kali ketiga musim ini.

Sementara itu, Johann Zarco menghadiahkan podium keempat buat Pramac Racing musim ini selepas menamatkan aksi di tempat kedua.

Zarco menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan apatah lagi saingan antara dua pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales membantunya membuka jurang yang lebih besar.

Pada masa sama, Vinales menampilkan aksi baik untuk mengekori rapat rakan sepasukan Espargaro bagi perebutan tempat ketiga.

Namun masalah teknikal yang dialami pelumba Sepanyol itu memaksanya bersara awal daripada perlumbaan.

Situasi itu membuka ruang buat Jack Miller sertai perebutan tempat ketiga di belakang Espargaro sebelum memintas pelumba Aprilia itu di hujung perlumbaan sekaligus melengkapkan podium di tempat ketiga.

Aksi di Sachsenring merupakan antara yang terbaik buat Miller meskipun dikenakan ‘long lap penalty’ namun masih berjaya menaiki podium.

Dalam perkembangan sama, kegagalan menamatkan saingan buat kali ketiga musim ini menyaksikan Bagnaia secara tidak langsung sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan musim ini.

Jentera GP 22 miliknya seakan hilang cengkaman ketika di Turn 1 lalu terbabas meskipun tiada sebarang perlanggaran atau tekanan dari pelumba lain.

Suhu mencecah 35 darjah celsius ternyata memberi kesan besar terhadap perlumbaan kali ini yang menyaksikan tujuh pelumba gagal menamatkan perlumbaan (DNF) termasuk Pol Espargaro, Vinales, Takaaki Nakagami, Alex Marquez, Darryn Binder, Bagnaia dan Mir.

Pada masa sama, keputusan perlumbaan kali ini menyaksikan Quartararo terus mendahului kejuaraan dengan 172 mata diikuti Espargaro kedua (138 mata) dan Zarco ketiga (111 mata).

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan