Pasukan CryptoData RNF Aprilia memulakan aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP dengan langkah kiri selepas kedua-dua pelumba, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira gagal menamatkan perlumbaan.
Oliveira kemalangan ketika berada di kelompok depan setelah dirempuh Marc Marquez di Turn 3 sekaligus memaksanya bersara di awal perlumbaan.
Pelumba Portugal itu juga disahkan akan terlepas aksi GP Argentina setelah mengalami kecederaan. Marquez juga turut diketepikan daripada aksi di pusingan kedua setelah Repsol Honda mengesahkan juara dunia lapan kali itu mengalami kecederaan tangan.
Ketika perlumbaan di Portimao tamat, Race Direction juga telah mengenakan penalti ‘long-lap’ berganda terhadap Marquez di Argentina. Namun, hukuman itu telah dibawa ke pusingan ketiga di GP America susulan Marquez disahkan akan terlepas aksi pusingan kedua.
Bagaimanapun, RNF Aprilia dalam satu kenyataan, menuntut agar Race Direction melaksanakan hukuman lebih berat dikenakan.
“Susulan aksi tidak bertanggungjawab dipamerkan Marc Marquez (Repsol Honda) terhadap Miguel Oliveira, kami mahu hukuman lebih berat dikenakan.
“Tunggangan agresif bukan sahaja boleh meninggalkan kesan buruk pada diri sendiri malah terhadap pelumba lain.
“Insiden antara Marquez dan Oliveira wajar dijadikan pengajaran kepada pelumba lain di MotoGP.
“Oleh itu, kami menuntut Race Direction mengenakan penalti lebih berat terhadap pelaku.”