Monster Energy Yamaha MotoGP telah membuat keputusan untuk ‘merehatkan’ Maverick Vinales dari menyertai GP Austria hujung minggu ini.
Perkara itu disahkan Yamaha dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Yamaha, keputusan itu dibuat setelah data yang dianalisis daripada jentera YZR-M1 mendapati Vinales telah menyebabkan berlakunya kerosakan enjin yang boleh membahayakan dirinya dan orang lain.
“Yamaha dengan dukacita mengumumkan penarikan semula penyertaan Maverick Vinales daripada GP Austria hujung minggu ini oleh Monster Energy Yamaha MotoGP.
“Ketiadaan pelumba itu adalah disebabkan operasi motosikal tidak teratur oleh pelumba itu ketika GP Styria, hujung minggu lalu.
“Keputusan tersebut dibuat setelah menjalankan analisis mendalam terhadap telemetri dan data sejak beberapa hari ini,” jelas Yamaha dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Yamaha memaklumkan bahawa slot pelumba itu tidak akan digantikan hujung minggu ini.
Sebaliknya, perbincangan lebih mendalam antara Yamaha dan Vinales akan dijalankan bagi menentukan penyertaan pusingan seterusnya.