Seorang pelajar ijazah kedoktoran falsafah McMaster Universiti di Kanada, Shayla Jamal, dalam kajiannya mendapati penggunaan motosikal adalah pilihan lebih selamat sewaktu tempoh pandemik Covid-19.
Keputusan kajian itu sekaligus mengukuhkan dakwaan peningkatan penjualan motosikal sewaktu Covid-19.
Pada masa sama, keputusan kajian itu juga memberi bayangan bahawa Covid-19 turut memberi impak terhadap kepercayaan orang ramai dalam menggunakan pengangkutan awam ketika ini.
Menariknya, daripada 300 responden, 75 peratus daripadanya berpendapat pengangkutan awam tidak selamat manakala 80 peratus percaya motosikal adalah medium terbaik untuk bergerak susulan mempromosikan penjagaan jarak sosial.
Bukan itu sahaja, 79 peratus juga percaya bahawa motosikal adalah lebih selamat dan merendahkan risiko jangkitan Covid-19.
Kajian tersebut yang dijalankan di Dhaka, Bangladesh, memfokuskan terhadap peningkatan penggunaan aplikasi ‘ride-sharing’ yang turut menyumbang kepada kenaikan angka kemalangan maut.