Beberapa tahun ini permintaan terhadap skuter jenis ‘urban adventure’ semakin meningkat naik bermula dengan pelancaran Honda ADV 150 (yang kini telah dinaik taraf kepada 160).
Senario sama bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut meraih populariti di China. Tidak hairanlah pasaran China juga menawarkan pelbagai model skuter adventure antaranya Lifan KPV150 Pro dan Longjia XDV250.
Terbaru, sebuah lagi motosikal ‘urban adventure’ diperkenalakn di China kali ini menerusi MVCagiva Crazy Weekend 150. Menariknya, walaupun nama MVCagiva itu seperti pernah kedengaran namun kami dengan yakinnya menjelaskan bahawa jenama itu tiada kaitan langsung dengan MV Agusta dan Cagiva.
Sekali imbas, Crazy Weekend 150 ini juga tampak seiras ADV 150/160 yang dipasarkan Honda.
Untuk rekod, Crazy Weekend 150 ini juga dikuasakan enjin yang dibekalkan QJMotor dan menawarkan 16.4hp dan 14Nm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik CVT seperti skuter lain.
Meskipun datang dengan nama yang unik di samping reka bentuk mirip ADV 150/160, skuter baharu ini masih lagi didatangkan dengan ciri premium antaranya lampu LED, ABS dwi-saluran, panel meter TFT, keyless dan penghadang angin boleh laras. Selian itu, skuter ini juga dilengkapi kamera hadapan yang bertindak seperti ‘dashcam’ kereta.
Menurut laporan, Crazy Weekend 150 ini dipasarkan di China dengna harga CNY14,998 (RM9.6k).