Bikesrepublic

Penghantar Foodpanda dan Grab kini dilindungi PERKESO, tetapi adakah ini memadai?

Penghantar Foodpanda dan Grab kini dilindungi bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui SPS Lindung yang dilaksanakan hasil kerjasama antara PERKESO dan penyedia-penyedia perkhidmatan.

SPS Lindung merupakan program bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

Inisiatif ini diasaskan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan keselamatan sosial bagi individu bekerja sendiri, termasuk rakan kongsi penghantaran dan juga penghantar.

Untuk menggalakkan pendaftaran, sumbangan PERKESO selama setahun berjumlah RM232.80, iaitu RM19.40 sebulan melalui Pelan 2 SKSPS akan disubsidi 100% oleh kerajaan melalui SPS Lindung.

PERKESO merupakan organisasi bawah Kementerian Sumber Manusia yang memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di Malaysia, dan ia mengumpulkan sumbangan dari kedua majikan dan pekerja.

Ia memberikan faedah kepada pekerja dan/atau tanggungan mereka sekiranya berlaku tragedi, serta faedah pemulihan fizikal dan vokasional.

Manfaat yang diberikan oleh SKSPS merangkumi perubatan, hilang upaya sementara atau kekal, elaun perkhidmatan tetap, pengebumian dan juga pendidikan.

Bawah SKSPS, individu bekerja sendiri dilindungi yang mengalami kecederaan atau penyakit akibat bekerja boleh mendapatkan rawatan percuma dari klinik panel PERKESO atau hospital kerajaan, dan juga boleh menuntut pembayaran balik untuk perbelanjaan perubatan di klinik bukan panel.

Individu dilindungi juga boleh mendapatkan pembayaran hilang upaya sementara selama cuti perubatan tak kurang dari empat hari, dengan kadar perlindungan maksimum RM105.33 sehari.

Sementara itu, mereka yang hilang upaya secara kekal akan terima 90% daripada pendapatan diinsuranskan bulanan yang dipilih, tertakluk kepada umur mereka dan juga faktor penilaian yang lain.

Jika mereka memerlukan penjagaan rapi daripada orang lain, mereka juga boleh menerima elaun sebanyak RM500 sebulan.

Rehabilitasi fizikal seperti pembedahan rekonstruktif, kerusi roda, tongkat, alat bantu pendengaran dan lain-lain, dan juga rehabilitasi vokasional seperti kursus menjahit, pembaikan radio, kaunseling, dan sebagainya akan diberikan secara percuma.

Jika individu dilindungi meninggal, waris sah akan menerima 90% dari pendapatan mereka, dan juga faedah pengebumian sebanyak RM2,000.

Tanggungan individu meninggal atau hilang upaya juga boleh mengambil pinjaman pendidikan.

Memandangkan keadaan ekonomi yang berubah secara ketara, dan juga peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran, inisiatif ini akan memastikan kebajikan rakan kongsi penghantaran akan dijaga dengan baik, kerana mereka menanggung risiko tinggi apabila bekerja.

Walaubagaimanapun, buat masa ini tidak jelas apa akan berlaku setelah tamat tempoh setahun pembayaran disubsidi – sama ada pembayaran akan dilakukan syarikat atau penghantar sendiri.

Namun begitu, subsidi ini telah mendapatkan kritikan dari beberapa pihak sebagai menggalakkan eksploitasi dalam pekerjaan ‘gig’, kerana sudah menjadi kebiasaan industri ini untuk tidak memberi perlindungan keselamatan sosial dengan mengekalkan pekerjaan seperti ini sebagai pekerjaan yang tidak rasmi.

Salah seorang daripada pengkritik, ahli parlimen Klang Charles Santiago mengatakan adalah keperluan untuk industri ini menyediakan mekanisme perlindungan sosial untuk pekerja-pekerja ini yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Mantan pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah Nungsari Ahmad Radhi juga mengkritik keras tindakan kerajaan mengsubsidi sumbangan PERKESO.

Beliau berpendapat platform seperti Grab dan Foodpanda dapat mengelak daripada membayar jaminan sosial kerana pembuat dasar gagal bertindak demi kepentingan pekerja.

“Sepatutnya pembuat dasar berusaha memikirkan penyelesaian, kerana terlalu ramai yang dieksploitasi, dan untung untuk pemegang saham juga terlalu banyak,” kata beliau.

Realitinya, penghantar ini tidak dianggap pekerja sepenuh masa, oleh itu tidak mendapatkan manfaat sama seperti pekerja sepenuh masa.

Menurut PERKESO, bilangan rakan kongsi penghantaran yang kini menyumbang bawah SKSPS setakat Julai 9 adalah sebanyak 64,673, iaitu 39% daripada 166,189 individu bekerja sendiri yang menyumbang kepada PERKESO.

Walaubagaimanapun, menurut Jabatan Statistik Malaysia, terdapat 2.72 juta individu bekerja sendiri di Malaysia, dan ini menunjukkan bahawa bilangan yang menyumbang secara tetap kepada PERKESO masih terlalu rendah.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube