Selepas Aprilia mendedahkan Tuareg 660 secara global pada Ogos tahun lalu, motosikal ‘adventure’ terbaru itu akhirnya mendarat di Malaysia menerusi pengedar rasmi jenama Aprilia, Didi Group.
Tuareg 660 ini dibangunkan dengan platform sama terdapat pada Aprilia RS 660 dan Tuono 660.
Bagaimanapun, enjin 660cc parallel-twin DOHC dengan penyejukan cecair tersebut telah ditala semula dan hasilnya menawarkan 80hp dan 70Nm.
Meskipun menghasilkan kuasa lebih rendah berbanding RS 660 (100hp) dan Tuono 660 (95hp) namun angka tersebut meletakkan Tuareg 660 lebih berkuasa berbanding pesaing lain antaranya, Yamaha Tenere 700 (74hp).
Aprilia turut membangunkan enjin tersebut sebagai ‘stressed member’ kerangka tubular dan hasilnya, Tuareg 660 hanyalah seberat (kering) 186kg.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Tuareg 660 ternyata ditawarkan sebagai jentera ‘off-road’ serba boleh dengan handlebar lebih lebar dan seksyen pertengahan yang lebih kurus.
Sistem suspensi pula dikendalikan fork depan USD 43mm boleh laras dan monoshock belakang dengan ‘progressive linkage’ yang menghasilkan jarak kelegaan tanah pada 9.5″, seinci lebih tinggi berbanding Tenere 700.
Penggunaan tayar 21″ depan dan 18″ belakang juga menjaminkan kawalan dan tunggangan lebih baik di permukaan ‘off-road’.
Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:
- lampu LED penuh
- brek kaliper Brembo
- tangki 18L
- Aprilia Performance Ride Control (APRC)
- traction control
- mod tunggangan pelbagai
- cruise control
- paparan TFT 5″
Menurut Didi Group, Aprilia Tuareg 660 ini ditawarkan dengan harga pengenalan RM75,900.