Bikesrepublic

Rider Nekad Tunggang Skuter Keliling Semenanjung Malaysia Sempena Hari Kemerdekaan

Seorang lelaki berniat menunggang skuter sejauh 3,000km mengelilingi hampir keseluruhan negeri di Semenanjung sempena Hari Kemerdekaan, sebagai tanda semangat patriotisme.

Misi kembara solo itu diambil oleh Halim Hamid, 46, yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan di sebuah hospital di sini, yang sudah memasuki tahun kelapan sejak memulakannya sejak 2013.

Ramai yang mengatakan tindakannya itu tidak waras dan kerja sia-sia, tetapi Halim tetap bersemangat meneruskan misi kembara solonya bersama skuter yang dihias dengan Jalur Gemilang demi kepuasan diri.

Halim berkata, perjalanan mengelilingi sembilan negeri di Semenanjung itu adalah dengan menunggang skuter Modenas Elegant 150 dan akan mengambil masa selama lapan hari sebelum dijangka menamatkan misi jelajahnya pada 2 September ini.

“Tahun ini memasuki tahun kelapan saya meneruskan misi jelajah solo yang mana dua tahun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kali terakhir adalah pada 2019.

“Jika dua tahun lalu jarak perjalanan adalah sejauh 2,480km tapi misi kali ini saya tambahkan laluan menjadi 3,000km kerana ingin mencabar diri selain singgah di beberapa lokasi bersejarah yang sebelum ini tidak sempat dilawati,” katanya.

Halim yang juga Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) yang berpangkat Sarjan melakukan pelepasan di Balai Polis Wakaf Bharu dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah dan Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, banyak tempat bersejarah yang sudah disenaraikannya untuk dilawati dan paling mengujakannya adalah Bukit Kepong di Johor dan Bandar Hilir Melaka sebelum meraikan detik kemerdekaan di Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos ini.

“Tercetusnya misi kembara solo saya pada sembilan tahun lalu adalah kerana terlalu ingin ke Bukit Kepong dan ketika itu tempoh perjalanan dibuat hanyalah tiga hari dengan menunggang motosikal Modenas Kriss.

“Untuk beberapa tahun seterusnya saya membuat perubahan dan penambahbaikan malah turut menerima banyak tajaan daripada pelbagai pihak dan kali ini saya selain dalam bentuk kewangan, saya juga mendapat tajaan petrol dari Petronas dan pakaian dari kelab basikal Group Gatih Amal (GGA),” katanya sambil memberitahu membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk menghias skuternya dengan Jalur Gemilang termasuk kos membaiki.

Selain persediaan mental dan fizikal yang mencukupi, Halim memberitahu, tiada persediaan khusus dilakukannya selain menjaga pemakanan di sepanjang perjalanan di samping berdoa agar tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanannya.

Katanya, masih terbayang lagi dalam ingatan kejadian dikejar dua lelaki sejauh 10km yang dipercayai untuk menyamun dan insiden nyawa nyaris ‘melayang’ apabila tayar sebuah treler yang dipandu di hadapannya tercabut.

“Ini kali pertama saya meneruskan misi kembara solo dengan menunggang skuter namun saya tidak berasa bimbang jika berlaku kerosakan kerana semua rakan dan kenalan yang berada di sepanjang negeri yang bakal saya lalui sudah dimaklumkan dan bantuan boleh tiba apabila diperlukan.

“Apa yang saya harapkan adalah keselamatan diri terjaga sama ada daripada ‘gangguan’ individu atau insiden yang tidak diingini di atas jalan raya,” katanya yang menghidap masalah tulang belakang sejak beberapa tahun lalu.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan