Suzuki merupakan antara pengeluar yang membuat kejutan ketika di EICMA tahun lalu apabila memperkenalkan Suzuki V-Strom 800 DE serba baharu.
Buat julung kalinya, V-Strom tidak lagi dihidupkan enjin V-Twin sebaliknya dikuasakan platform parallel-twin 776cc serba baharu yang dibangunkan di Hamamatsu, Jepun.
Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan Suzuki Malaysia bakal memperkenalkan motosikal ADV serba baharu itu pada 6 Mei ini di Malaysia Autoshow 2023 bertempat di MAEPS, Serdang.
Suzuki Malaysia turut berkongsi ‘teaser’ di media sosial yang mendakwa motosikal ‘Master of Adventure’ itu akan didedahkan pada 6 Mei ini.
Meskipun tidak lagi bernadikan V-Twin, penggunaan konfigurasi ‘270-degree crank’ memastikan enjin parallel-twin itu menghasilkan nota bunyi yang hampir sama dengan platform V-Twin. Selain itu, enjin baharu ini juga menawarkan kuasa yang lebih baik, 83hp pada 8,500rpm dan 79Nm pada 6,800rpm.
Dalam pada itu, Suzuki V-Strom 800 DE ini juga datang dengan pakej elektronik yang serba lengkap termasuk Suzuki Intelligent Ride System (SIRS).
SIRS merangkumi ride-by-wire, empat mod menunggang termasuk mod Gravel, quickshisfter, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist.
Segala informasi dan akses kepada tetapan elektronik pula boleh dilakukan menerusi panel meter TFT berwarna serba baharu. Pencahayaan pula hadir menerusi lampu LED penuh (depan dan belakang).
Mengambil kira kesemua faktor di atas pastinya kedatangan Suzuki V-Strom 800 DE di pasaran Malaysia akan menggembirakan penunggang motosikal yang meminati motosikal jenis ‘adventure’ ini.
Apa pun, kita nantikan pengumuman rasmi daripada pihak Suzuki Malaysia pada 6 Mei ini.