Bikesrepublic

Suzuki V-Strom 800 DE Masuk Malaysia Suku Ketiga Tahun Ini?

Suzuki merupakan antara pengeluar yang membuat kejutan ketika di EICMA tahun lalu apabila memperkenalkan Suzuki V-Strom 800 DE serba baharu. 

Buat julung kalinya, V-Strom tidak lagi dihidupkan enjin V-Twin sebaliknya dikuasakan platform parallel-twin 776cc serba baharu yang dibangunkan di Hamamatsu, Jepun. 

Dalam perkembangan terbaru, difahamkan motosikal jenis ‘adventure’ itu akan turut dipasarkan di Malaysia sekitar suku ketiga tahun ini. Menariknya, beberapa pengamal media tempatan juga telah ke Itali bagi menguji jentera serba baharu itu. 

Meskipun tidak lagi bernadikan V-Twin,  penggunaan konfigurasi ‘270-degree crank’ memastikan enjin parallel-twin itu menghasilkan nota bunyi yang hampir sama dengan platform V-Twin. 

Namun, beralih ke parallel-twin juga membenarkan penghasilan enjin yang lebih kompak lantas lebih sesuai untuk ‘dikerjakan’ terutamanya ketika tunggangan ‘off-road’. 

Kemudian, bagi memastikan enjin beroperasi pada tahap optimum, sistem penyejukan dikendalikan oleh dua cara. 

Pertamanya, bahagian radiator dilengkapi dengan System Inlet Control Thermostat Valve yang berfungsi dengan mengekalkan suhu enjin secara konsisten. Kedua, suhu enjin kekal rendah dengan bantuan sistem penyejukan cecair yang kompak. 

Operasi transmisi manual 6-kelajuan pula menawarkan pertukaran gear yang lancar dibantu dengan sistem ‘quickshifter’ yang sama terdapat pada GSX-8S. 

Pada masa sama, Suzuki Clutch Assist System pula memastikan pertukaran gear kekal efisien meskipun penunggang menurunkan gear secara agresif. 

Walaupun enjin parallel-twin terkenal dengan gegaran yang ketara namun masalah tersebut berjaya diatasi menerusi Suzuki Cross Balancer yang pertama kalinya diwujudkan pada sebuah motosikal ‘production’. 

Menurut Suzuki, terdapat dua pengimbang telah diletakkan pada kedudukan 90-darjah di bahagian ‘crankshaft’ dan bertujuan memastikan enjin kekal ringan sewaktu menunggang. 

Dalam pada itu, Suzuki V-Strom 800 DE ini juga datang dengan pakej elektronik yang serba lengkap termasuk Suzuki Intelligent Ride System (SIRS). 

SIRS merangkumi ride-by-wire, empat mod menunggang termasuk mod Gravel, quickshisfter, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist. 

Segala informasi dan akses kepada tetapan elektronik pula boleh dilakukan menerusi panel meter TFT berwarna serba baharu. Pencahayaan pula hadir menerusi lampu LED penuh (depan dan belakang). 

Mengambil kira kesemua faktor di atas pastinya kedatangan Suzuki V-Strom 800 DE di pasaran Malaysia akan menggembirakan penunggang motosikal yang meminati motosikal jenis ‘adventure’ ini. 

Apa pun, kita nantikan pengumuman rasmi daripada pihak Suzuki Malaysia. 

GALERI: SUZUKI V-STROM 800 DE 2023

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan