Selain daripada laporan pembukaan tempahan bagi motosikal ‘tourer’ popular, Versys 650 ABS, Modenas juga dikhabarkan akan turut memperkenalkan Ninja 650 dan Z650 pada bulan Julai ini.
Tinjauan di beberapa pengedar rasmi Modenas/Kawasaki juga mendapati ada yang sudah mengiklankan tempahan bagi kedua-dua mootsikal tersebut di samping Versys 650 ABS.
Ini bermakna Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) sebagai pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia akan memperkenalkan tiga model 650 bulan ini.
Bagi yang tidak mengikuti perkembangan semasa, Modenas dan Kawasaki menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar motosikal Jepun itu turut memiliki peratusan besar saham Modenas. Senario itu membolehkan Modenas menjenamakan semula motosikal Kawasaki dengan kapasiti 650cc ke bawah dan dijual di Malaysia.
Untuk rekod, Modenas telah pun menawarkan Ninja 250, Z250 dan Vulcan S dengan masing-masing dijual dengan lencana Modenas. Kesemua model tersebut juga dipasang di Gurun, Kedah sekaligus menyebabkan model ditawarkan datang dengan harga yang lebih rendah berbanding sebelum ini.
Pelancaran Versys 650 ABS, Ninja 650 dan Z650 secara tak langsung bakal melengkapkan barisan model 650cc yang ditawarkan disini.
Kami menjangkakan sebaik kesemua model 650cc ini dirasmikan, giliran seterusnya pastinya melibatkan model ditunggu-tunggu, Ninja ZX-25R.