Kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak merancang untuk meneruskan cadangan kerajaan terdahulu untuk mewujudkan litar drag di setiap negeri.
Memetik laporan MalayMail, kerajaan akan menanggung kos selenggara tinggi sekiranya cadangan itu diteruskan. Penjelasan tersebut dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memberi respon terhadap soalan MP Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryday Bandy.
“Buat masa ini, kementerian sedang menumpukan usaha untuk menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk membina litar lumba drag, Yang Berhormat boleh menghantar permohonan untuk dipertimbangkan.
“Bagaimanapun, sebarang permohonan pembinaan fasiliti sukan baharu hanya akan dipertimbangkan sekiranya ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Menteri Ekonomi,” jelas Hannah Yeoh. – MalayMail