Bikesrepublic

Tunggang Uji Honda CB1000R Neo Sports Café

  • Motosikal Honda CB1000R adalah model utama dalam rangkaian Neo Sports Café Honda.
  • Ia menawarkan pengendalian yang hebat untuk penunggangan harian.
  • Penunggang baharu dengan mudah boleh belajar menunggangnya dan tidak akan cepat berasa bosan.

Motosikal Honda CB1000R Neo Sports Café telah hadir menggantikan pendahulunya, juga bergelar CB1000R.

Di mana model sebelum ini bercirikan beberapa buah rekaan ranggi yang telah mendapat sambutan yang bercampur baur antara para peminat, ia juga datang dengan lengan ayun satu sisi yang cukup mengagumkan. Jadi, Honda telah merombak semula model berkenaan dan memperkenalkan sebuah segmen baharu, yang di beri nama Neo Sports Café.

Motosikal dalam rangkaian Neo Sports Café datang dengan reka bentuk yang menggabungkan rekaan tradisional dengan olahan yang baharu. Motosikal-motosikal ini bercirikan lampu hadapan bulat yang digabungkan dengan elemen yang terkini. Honda menegaskan bahawa rangkaian ini bukanlah terdiri daripada motosikal lumba naked mahu pun motosikal replika.

Enjin ‘inline-Four’, 998cc itu, seperti mana yang kebiasaannya bagi enjin Honda, cukup lancar dan senyap sekali. Diambil daripada CBR1000RR Fireblade versi yang terdahulu, ia menawarkan lebih banyak daya kilas pada tahap rendah dan sederhana. Namun begitu, pengeluar tersebut buukan sekadar mengambil enjin itu begitu sahaja; jurutera mereka telah merombak semula secara keseluruhan dan melengkapkannya dengan omboh aluminium tempa, injap yang lebih besar, ‘valve lift’ yang lebih tinggi, liang masukan yang lebih besar, dan kebuk pembakaran baharu bagi membolehkan aliran wasap yang lebih baik.

Ciri-ciri lain termasuklah nisbah gear yang lebih rapat dioptimakan untuk prestasi jalan raya, dengan erti kata lain, pemecutan yang lebih baik dan juga menggunakan klac gelincir.

Dari segi kelengkapan elektronik pula, motosikal ini dilengkapi dengan pendikit ‘ride-by-wire’, dan dengan ini membolehkan kehadiran empat mod penunggangan (Standard, Sport, Rain, User). Selain itu, ia didatangkan dengan kawalan cengkaman yang dipanggil “Honda Selectable Torque Control” (HSTC).

Untuk casisnya pula, forknya adalah fork Showa BPF boleh laras sepenuhnya manakala penyerap hentakan belakangnya boleh dilaras untuk pra muatan pegas dan redaman lantunan. Roda lebarnya yang diliputi dengan tayar 190/55ZR17 telah dipaut pada lengan ayun satu sisi.

Ok, cukup setakat itu mengenai motosikal ini. Masa untuk menunggangnya.

Enjinnya hidup dengan bunyi vroom yang bergema. Ekzos standardnya mungkin nampak biasa-biasa sahaja, namun ia berbunyi merdu dan mengaum pada kitaran yang lebih tinggi.

Posisi menunggangnya adalah antara posisi ‘sporty’ yang agresif dan posisi penunggangan harian yang praktikal. Ianya seperti kebanyakan motosikal lain yang ada dalam segmen motosikal naked ‘open class’.

Di atas kertas, motosikal ini mungkin kedengaran agak menggerunkan untuk ditunggang, namun ia nyata sebuah motosikal yang amat mudah untuk dikendalikan. Tunggangannya cukup jinak sekali seperti seekor kucing ketika anda menunggangnya dengan santai tetapi, ‘si kucing’ ini boleh berubah menjadi ‘harimau kumbang’ apabila anda mahukannya. Pemecutan garis lurusnya cukup dirasai tetapi tidaklah sehingga hendak tercabut lengan anda.

Dalam bandar, pengendalian motosikal CB1000R ini cukup baik sekali. Ianya mudah untuk ditunggang ketika menyelusuri kesesakan trafik, dan anda boleh manfaatkan daya kilasnya untuk memecut. Breknya juga sama hebatnya, menawarkan cengkaman mula yang ampuh walaupun dengan hanya satu jari.

Selain itu, kami cukup suka dengan suspensinya yang lembut itu, terutamanya di dalam bandar. Bonggol dan lubang ditangani dengan cukup senang sekali.

Bagaimana pun, anda perlu berhati-hati dengan tahap kelembutan itu sewaktu menunggang dengan laju di atas jalan raya yang bersimpang siur. Forknya tiada masalah, kerana ianya boleh dilaras sepenuhnya. Tetapi penyerap hentakan belakangnya pasti akan menghadapi masalah dengan jenis jalan raya yang beralun-alun yang ada di Malaysia ini. Sering kali kita dapati bahagian belakang ‘berpogo’ (bergerak ke atas dan bawah). Kebiasaannya, ianya bukan satu masalah bagi motosikal dengan jarak antara roda yang panjang, namun, jarak antara roda CB1000R yang pendek menambah lagi pada masalah ini, menyebabkan bahagian hadapan ditolak ke bahagian luar selekoh.

Kami dengan pantas mempelajari untuk memandu arah motosikal memasuki selekoh dengan lebih lancar dan secara lebih santai. Ini kerana motosikal ini tidak suka ditukar arah memasuki selekoh lewat, jadi anda kena masuk selekoh dengan lebih awal.

Walaupun begitu, motosikal Honda CB1000R Neo Sports Café ini adalah motosikal yang baik untuk penunggang baharu dalam kategori ‘open-class’. Ianya sebuah motosikal yang anda boleh pelajari, dan tidak akan cepat berasa bosan dengannya.

 

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan