Baru-baru ini kami telah pun melaporkan bahawa MForce Bike Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan jenama Voge untuk pasaran tahun depan menerusi Voge 900 DS.
Jenama premium milik Loncin itu semakin mencuri tumpuan ekoran membekalkan enjin kepada BMW termasuk bagi model C 400 X, C 400 GT, F 850 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS. Menariknya, enjin yang diguna pakai pada 900 DS merupakan yang sama terdapat pada F 900 R, XR dan GS.
Terbaru, Voge turut akan perkembangkan barisan model sedia ada untuk pasaran global tidak lama lagi selepas memperkenalkan RR 666 S di China, baru-baru ini.
Menariknya, RR 666 S ini dilabel sebagai motosikal paling berteknologi tinggi dan berkuasa pernah dihasilkan Voge. Pertamanya, ‘sportbike’ ini dikuasakan enjin 4-silinder 660cc 16-valves serba baharu dengan sistem penyejukan cecair yang didakwa berupaya menghasilkan lebih 100HP.
Voge mendakwa jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 240km/j dan mampu mencatat 0-100km dalam tempoh 3.5 saat sahaja. RR 666 S ini juga dilengkapi dengan komponen suspensi dari KYB (Kayaba) serta kaliper brek Brembo yang dipadankan bersama ABS dan ‘traction control’.
Sebaik dilancarkan di pasaran global kelak, RR 666 S ini akan bersaing dengan Aprilia RS 660, Yamaha YZF-R7 dan akan datang Triumph Daytona 660.