Yamaha Motor Vietnam dengan rasminya melancarkan Exciter 155 VVA serba baharu untuk pasaran negara itu.
Exciter (Y15-ZR di Malaysia) kini tampil dengan enjin lebih besar dan dipadankan dengan sistem VVA (variable valve actuation).
Mendapat inspirasi daripada ‘abang besar’ Yamaha YZF-R1, rekaan keseluruhan Exciter 155 VVA ini tampil lebih agresif dan moden terutamanya bahagian depan yang lebih menonjol dengan lampu depan LED manakala lampu belakang menampilkan bentuk sama yang ditawarkan R15.
Sementara itu, Exciter 155 VVA ini digerakkan dengan enjin 155cc SOHC sama yang memacu R15 dan MT-15 yang menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm pada 8,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan (dengan bantuan klac assist/slipper).
Mengikut acuan model terkini Yamaha Exciter 155 VVA ini juga dilengkapi paparan LCD yang menawarkan informasi kelajuan, RPM dan ‘gear indicator’ manakala bahagian ‘handle’ kanan diletakkan butang ‘kill switch’.
Model 2021 ini juga mengguna pakai sistem Smart Key (keyless) di samping menawarkan pengecas USB termasuk penggunaan kaliper brek dua piston (bagi varian Premium) serta tangki yang lebih besar, 5.4L berbanding model sebelumnya.
Bagaimanapun, tiada ciri Anti-lock Braking System (ABS) ditawarkan.
Tiga varian ditawarkan di Vietnam menerusi GP Edition, Premium dan Standard dengan masing-masing ditawarkan pada harga berikut:
- VND50.49 juta (RM8,848)
- VND49.99 juta (RM8,761)
- VND46.99 juta (RM8,235).