Yamaha telah pun melancarkan YZF-R15 V4 di India pada September tahun lalu di India.
Pada pelancaran tersebut, Yamaha memperkenalkan dua varian, R15 (Standard) dan R15M yang merupakan varian terbaru bagi model itu.
Tak lama kemudian, Yamaha R15 V4 itu turut dipasarkan di negara jiran, Indonesia sementara pengedar di Singapura membawa masuk model itu untuk pasaran terbabit pada Februari lalu.
Dalam perkembangan terbaru, jangkaan kami bahawa R15 generasi keempat itu bakal diperkenalkan tidak lama lagi di Malaysia bakal dilunaskan setelah dua model dikesan menjalani ujian jalan raya baru-baru ini seperti yang dilaporkan rakan media, Paultan.org pada Selasa.
Laporan itu jelas memaparkan dua model R15 V4 sedang menjalani ujian dan tampil dengan warna serba hitam bagi melindungi rupa sebenar.
Bagaimanapun, seperti yang didedahkan sebelum ini, R15 V4 ini menawarkan panel badan dan reka bentuk lampu LED serba baharu yang yang diinspirasikan daripada jentera terbaru YZF-R7 yang dilancarkan di Eropah.
Bukan itu sahaja, varian R15M dilengkapi dengan traction control, sistem quickshifter dan dua mod tunggangan (Track/Street) sekaligus menawarkan pengalaman menunggang yang mengujakan.
Difahamkan, Yamaha R15 ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia sekitar awal suku ketiga tahun ini. – Paultan.org