Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda Racing Corporation (HRC) telah memeterai kerjasama baharu dengan pengeluar ekzos terkemuka, Akrapovic.

Menurut HRC, Akrapovic dengan rasminya dilantik sebagai pembekal ekzos utama bagi pasukan Repsol Honda Team bermula musim 2023.

Pengumuman baharu itu sekaligus mengesahkan penamatan kerjasama antara HRC dan SC Project sebelum ini. 

HRC dalam kenyataan turut menjelaskan bahawa Honda dan Akrapovic akan sama-sama dalam pembangunan ekzos bagi RC213V.

“Kami berbesar hati mengumumkan Akrapovic sebagai rakan kongsi terbaru bagi musim 2023 dan seterusnya. 

“Menerusi kerjasama ini kami akan bersama dalam membangunkan sistem ekzos terbaik bagi (jentera) Honda RC213V. Kami yakin usahasama ini akan menghasilkan kejayaan,” jelas Pengarah HRC, Tetsuhiro Kuwata. 

Kedua-dua pihak akan turut berkongsi teknologi dan kejuruteraan dalam mencari resepi terbaik untuk meraih kemenangan di MotoGP. 

Bagi musim 2023, jentera Honda RC213V akan dilengkapi sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic. 

Untuk rekod, jenama ekzos dari Slovenia itu telah menghasilkan ekzos sejak era 90an dan mempunyai rekod cemerlang di MotoGP, WorldSBK, MXGP dan EWC. 

Dalam pada itu, Repsol Honda dijadualkan akan memperkenalkan pasukan musim 2023 secara rasmi pada 23 Februari ini.

Jenama brek kaliper popular Itali, Brembo, bakal memasarkan kaliper brek model GP4-MS yang telah dinaik taraf bagi tahun 2023.

Sebagai rujukan, Kaliper brek GP4-MS telah pun dijual kepada orang ramai bermula 2019 namun ketika itu, model tersebut ketiadaan ciri yang digelar sebagai ‘bilah penyejuk’ yang terdapat pada kaliper brek pada jentera MotoGP. 

Namun, segalanya berubah bagi model 2023 apabila Brembo menaik taraf GP4-MS dengan ciri ‘bilah penyejuk’ ala MotoGP itu untuk kegunaan motosikal di jalan raya mahupun litar lumba. 

Seperti model GP4-RR dan GP4-RX, setiap kaliper brek Brembo GP4-MS dibentuk daripada satu blok aluminium dan mengikut reka bentuk ikonik jenama itu. 

Bagaimanapun, bilah penyejuk itu menjadi tambahan baharu bagi produk 2023 dan didakwa mampu menambahbaik prestasi membrek terutamanya apabila digunakan di litar lumba. 

Bukan itu sahaja, Brembo turut menambah pelekat deria haba pada blok kaliper tersebut yang berfungsi mengesan suhu operasi kaliper sebaik selesai sesi di litar. 

Ciri tersebut bukan sahaja membolehkan penunggang mengkaji daya menunggang malah membantu dalam menentukan pad brek yang sesuai. 

Menurut Brembo, kit kaliper brek GP4-MS itu juga disertakan dengan pad brek berprestasi tinggi yang telah disinter. 

Bagaimanapin, tarikh rasmi bagi pelancaran model itu tahun ini masih belum diputuskan. 

Untuk maklumat lanjut layari www.brembo.com.

Rata-rata pengeluar motosikal dunia telah mula mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan pengeluar lain dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas.

BMW antaranya telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat India, TVS Motor Company  bagi pembangunan model G 310 dan syarikat China, Loncin bagi model C 400 X/GT, F 850 GS dan F 900 R/XR. 

Triumph Motorcycles juga bakal memperkenalkan model sulung – jangkaan bawah 500cc – hasil kerjsama dengan gergasi India, Bajaj Auto.

Namun begitu, KTM terlebih awal menoktahkan kejayaan bersama Bajaj.

Bajaj merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan model 400cc ke bawah bagi KTM yang merangkumi model Duke 200, 250 dan 390, 250 dan 390 Adventure serta RC 390. 

Kesemua model ini cukup laris terutamanya di pasaran Asia dan Eropah sehinggakan kerjasama antara kedua-dua jenama itu merekodkan jualan lebih satu juta motosikal. 

Kejayaan itu dicapai bukan hanya disebabkan faktor mampu milik malah barisan model bawah 400cc KTM terutamanya model 390 berjaya menarik minat bukan sahaja penunggang baharu malah berpengalaman. 

Untuk rekod, Bajaj juga bertanggungjawab menghasilkan model Husqvarna antaranya Svartpilen dan Vitpilen 401 serta 250. 

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology dengan rasminya memperkenalkan kit ‘quickshifter’ serba baharu dikenali sebagai ShiftBoss. 

ShiftBoss membolehkan penunggang motosikal dengan transmisi manual menukar gear tanpa perlu menarik klac sekaligus mempercepatkan proses pertukaran gear agar lebih efisien.

Pembangunan ShiftBoss sahaja telah mengambil masa tiga tahun namun menurut FSR Technology, evolusi teknologi ‘quickshifter’ syarikat itu telah pun bermula sejak 10 tahun lalu.

FSR Technology telah pun memperkenalkan sensor quickshifter pada tahun 2021 namun sistem itu hanya boleh berfungsi dengan ECU TuneBoss sekaligus berlainan dengan ShiftBoss yang boleh beroperasi secara sendirian. 

Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali menjelaskan bahawa kit ShiftBoss boleh dipadankan lebih daripada 20 jenis motosikal.

Antara model tersebut yang boleh dipadankan termasuk; Yamaha FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150, CBR150 dan SYM VF3i. Lain-lain termasuk, Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390, Modenas Pulsar 200 serta Kawasaki Versys.

Menariknya, barisan model yang akan dipadankan juga akan bertambah dalam masa terdekat termasuk GPX Demon GR200R dan Aprilia Shiver 750. 

Kit quickshifter tersebut merangkumi sensor shift, modul kawalan (bergantung kepada model motosikal) dan braket.

Kami juga diberitahu bahawa sekiranya kabel quickshifter tersebut dipotong, motosikal terbabit boleh beroperasi seperti biasa dan tidak akan menjejaskan sistem transmisi asal. 

ShiftBoss dijual pada harga (bermula) RM399 bagi motosikal dengan satu modul nyalaan dan RM599 bagi dua modul nyalaan. 

Ketika pasaran motosikal elektrik masih bergerak perlahan di Malaysia lain pula kisahnya di negara jiran Indonesia. 

Indonesia ketika ini cukup rancak dalam mempromosikan program motosikal elektrik dalam usaha mencapai status neutral karbon 2060. 

Kami diberitahu terdapat lebih daripada 30 model motosikal elektrik yang dipasarkan di negara itu setakat tahun 2022 dan angka itu dijangka bertambah lagi tahun ini. 

Itu sahaja sudah cukup membuktikan komitmen Indonesia dalam merealisasikan misi karbon neutral mereka. 

Dalam perkembangan terbaru, syarikat konglomerat Indonesia, Indika Energy, telah membuat pelaburan besar dalam pengeluar motosikal elektrik berprestasi tinggi, Damon Motorcycles. 

Meskipun angka pelaburan tidak diberitahu namun kami jangkakan jumlahnya agak besar kerana kerjasama termeterai itu juga bakal menyaksikan Damon memasarkan model elektriknya di Indonesia. 

Bagi yang tidak mengenali Indika Energy, syarikat itu merupakan gergasi perlombongan arang batu dan peneraju tenaga hijau di Indonesia. 

Setakat ini, Indika Energy telah pun memperkenalkan jenama mobiliti elektrik menerusi Ilectra Motor Group (IMG). 

Untuk rekod, Indonesia mensasarkan 2 juta motosikal elektrik berada di jalan raya menjelang 2050 termasuk mengurangkan emisi karbon tahunan sebanyak 29 peratus pada 2030. 

Kerjasama dengan Damon Motorcycles pastinya akan menyumbang kepada usah besar negara itu dalam mencapai karbon neutral 2060.

Ketika ini, Damon menawarkan dua model berprestasi tinggi menerusi Damon HyperSport (sportsbike) dan Damon HyperFighter (naked).

Kedua-dua model ini menawarkan lebih 200hp dan 200Nm di samping mampu pergi sejauh 320 kilometer bagi setiap cas penuh. 

Hong Leong Yamaha Motor menambah lagi barisan motosikal segmen kapcai di Malaysia dengan memperkenalkan Yamaha EZ115 baharu. 

Yamaha EZ115 ini dikuasakan enjin 144cc 4-stroke, 2-valve SOCH dengan suntikan bahan api (FI) yang berupaya menghasilkan 8.5hp pada 7,000rpm dan 9.5NM pada 5,500rpm. 

Menariknya, enjin pada EZ115 ini juga berjaya mencapai penarafan Euro4 dan boleh dihidupakn dengan penggunaan ‘kick start’ ataupun secara elektrik. ,

Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 4-kelajuan.

Meskipun hanya datang dengan tangki 3.9L namun Yamaha mendakwa EZ115 ini menawarkan kecekapan bahan api yang efisien sekaligus praktikal untuk kegunaan harian. 

Pada masa sama, dengan berat (kering) hanya 95kg, motosikal ini juga sesuai bagi setiap lapisan umur. 

Antara kelengkapan lain termasuk cakera brek tunggal depan dengan kaliper brek axial, fork depan jenis teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang. 

Untuk rekod, Yamaha EZ115 baharu ini menggantikan model Yamaha Lagenda 115Z. 

Dalam pada itu, HLYM juga memaklumkan bahawa Yamaha EZ115 akan turut beraksi di Cub Prix tahun ini dalam acara ‘one-make race’. 

GALERI: YAMAHA EZ115

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube