Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang pengguna perkhidmatan kurier tempatan berasa serabut apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang dipos dari Tawau, Sabah sejak 13 Disember lalu masih belum sampai.

Muhd Zakri memaklumkan motosikal RXZ itu sehingga kini masih belum sampai ke tangan penerima meskipun telah memasuki hujung Februari.

“Saya pos motosikal saya dari Tawau pada 13 Disember 2021 dan jadi sampai sekarang motosikal saya masih tak sampai lagi ke alamat penerima.

“Saya dah cuba semak ‘tracking number’ tapi macam tidak dikemas kini, apabila saya hubungi pihak kurier asyik beri alasan sama,” jelasnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Difahamkan, status terakhir dalam sistem 5 Januari 2022 menunjukkan motosikal tersebut telah pun keluar dari pusat kurier di Tawau dan dalam proses penghantaran.

“Kali terakhir saya hubungi pihak operasi kurier, mereka mengatakan motosikal saya kemungkinan masih berada di atas kapal dan tidak ada kebenaran untuk berlabuh.

“Tapi sebelum ini apabila saya hubungi mereka, pihaknya kata motosikal dah sampai Port Klang. Bukannya motosikal saya itu dari negara lain, dari Sabah sahaja,” tambahnya.

Umum sedia maklum bahawa Suzuki Malaysia bakal memperkenalkan tiga model 150cc yang merangkumi GSX-R150, GSX-S150 dan Belang R150.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Suzuki Malaysia mengesahkan bahawa Belang R150 akan diperkenalkan sebagai Raider R150 Fi.

Pendedahan itu dibuat menerusi perkongsian terbaru Suzuki Malaysia di akaun media sosial, hari ini.

Dengan slogan ‘The Epitome of Underbone”, Suzuki Raider R150 Fi melengkapkan barisan model 150cc yang akan diperkenalkan Suzuki Malaysia tidak lama lagi.

Suzuki Raider R150 Fi dikuasakan enjin 147.3cc DOHC dengan penyejukan cecair dan menawarkan 18.23hp pada 10,000rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm.

Honda Thailand bersama bengkel modifikasi, Cub House telah berkerjasama dalam membangunkan Honda Monkey 125 edisi One Piece untuk pasaran negara itu.

Menurut info, model Honda Monkey Edisi One Piece itu merupakan permintaan oleh pihak Honda Thailand sendiri.

Ini bukan kali pertama Cub House menghasilkan model edisi khas seumpamanya kerana sebelum ini mereka juga memperkenalkan Monkey Edisi Gundam, Edisi Dragon Ball dan Edisi Hot Wheels.

Terdapat dua varian diperkenalkan, versi Monkey D. Luffy (watak utama One Piece) dan Tony Tony Chopper. Difahamkan, hanya 150 unit bagi setiap versi dihasilkan.

Menariknya, pilihan warna versi Monkey D. Luffy tampil dengan warna pakaian watak manga itu dengan gabungan biru dan merah. Namun sayangnya, warna topi jerami yang dipakai Luffy tidak kelihatan.

Sementera versi Tony Tony Chopper pula mengikut tema warna watak itu dengan gabungan warna biru dan merah jambu (pink) serta coklat.

Bukan itu sahaja, Honda Monkey edisi terhad itu juga disertakan dengan peti harta karun yang merangkumi helmet, penutup motosikal, nombor plat dan rantai kunci.

Bagaimanapun, Honda Monkey X One Piece itu kekal dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan suntikan bahan api yang menjana 9.2hp pada 7,000rpm dan 11Nm pada 5,250rpm.

MODENAS telah pun merasmikan skuter kompak terbaru menerusi Karisma 125S 2022.

Menurut MODENAS, Karisma 125S ini telah dinaik taraf bagi tahun 2022 terutamanya enjin satu silinder 124.8cc 4-lejang itu kini menepati piawai EEV dan Euro4.

Meskipun mencapai Euro4 namun skuter kompak itu kekal menawarkan 9.4hp pada 7,500rpm dan 10Nm pada 6,000 seperti generasi sebelumnya yang dilancarkan pada 2016.

Sementara itu, segala kuasa disalurkan menerusi transmisi jenis CVT.

Bagaimanapun, kapasiti tangki lebih besar, dengan 5.1L berbanding 4.6L sebelum ini.

Namun aspek rekaan telah diperbaharui dan tampil lebih sporty dan dipadankan bersama grafik lebih rancak.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED dengan fungsi DRL (daytime running light)
  • ruang simpanan 14L
  • ruang barangan kecil di bahagian depan
  • soket pengecas USB
  • lampu kecemasan

Modenas Karisma 125S ini ditawarkan pada harga RM5,397 dan tampil dengan tiga pilihan warna menarik; Mystic Red, Duchess Gold dan Aqua Blue.

Bagi meraikan model Honda EX5 yang telah pun terjual lebih 2 juta unit dan sempena peringatan khas ulang tahun ke-35, Boon Siew Honda memperkenalkan EX5 Edisi Terhad.

Bagi memberikan kelainan, Honda EX5 edisi terhad ini tampil dengan pilihan warna Extravagant Gold Metallic yang terpampang di panel badan.

Imej klasik juga dipertingkat dengan penggunaan rim berwarna emas sama seperti edisi ulang tahun ke-30 yang dilancarkan pada 2017.

Meskipun menawarkan kelainan dari segi warna namun EX5 edisi terhad ini kekal dikuasakan enjin satu silinder 110cc yang berupaya menghasilkan 8.5hp pada 7,500rpm dan 8.62Nm pada 5,500rpm.

Seperti EX5 moden lain, model ini juga menggunakan Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) Honda yang menjaminakn tahap kecekapan pembakaran enjin yang optimum dan memastikan pelepas karbon rendah.

Menurut BSH, hanya 2,000 unit sahaja dikeluarkan bagi model edisi terhad kali dan ditawarkan pada harga RM5,198.

Aprilia telah pun melancarkan skuter ADV sulung menerusi SR GT 200 di Jepun, beberapa bulan selepas didedahkan kepada umum di EICMA, November tahun lalu.

Walaupun tampil dengan dua varian, 125 dan 200, namun hanya model yang lebih besar diperkenalkan di negara matahari terbit itu.

Meskipun sebuah skuter, namun Aprilia masih mengekalkan DNA rekaan sama seperti model berkuasa tinggi lain terutamanya di bahagian lampu depan yang tampil dengan ciri tri-LED dengan fungsi DRL (daytime running light).

Namun rekaan menarik tertumpu kepada bahagian keseluruhan badan yang menampilkan elemen ADV (seperti Honda ADV 150) antaranya penghadang angin tinggi dan rekaan agresif.

Aprilia SR GT 200 ini juga dilengkapi dengan ‘handlebar’ yang lebar dan tempat letak kaki yang luas bagi memastikan tunggangan kekal selesa untuk kegunaan harian.

Skuter maxi 200cc ini juga dilengkapi dengan paparan digital LCD dan sistem enjin start/stop automatik bagi memastikan penjimatan minyak lebih baik sewaktu berhenti.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 9L
  • fork teleskopik 33mm Showa
  • penyerap hentakan berkembar Showa
  • cakera brek 260mm depan dan 220mm belakang
  • rim 14-inci depan, 13-inci belakang
  • tayar jenis ‘knobby’

Aprilia SR GT 200 ini dikuasakan enjin satu silinder 174cc yang menjana 17.32hp pada 8,500rpm dan 16.5Nm pada 7,000rpm.

Untuk pasaran Jepun terdapat dua varian ditawarkan, Standard dan Sport yang dibezakan hanya menerusi pilihan warna dan grafik.

Aprilia SR GT 200 ditawarkan pada harga JPY550,000 (RM20,009).

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube