Bikesrepublic

Berita Terkini

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata masih tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini.

Beliau berkata pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.

“Akan tetapi, kita mengalakkan pemasangan dashcam terutamanya pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang. Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi.”

Loke turut mengalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 600,000 kemalangan yang mengakibatkan jumlah kematian sebanyak lebih 6,500 orang.

“Kalau kita lihat statistik, puratanya adalah 15 hingga 17 orang meninggal setiap hari dan jumlah ini satu angka yang besar.

“Setiap orang yang meninggal, bagi kita ini adalah satu tragedi yang tidak perlu berlaku kerana kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan jika setiap pemandu mengambil sikap berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Justeru itu, Loke berharap orang ramai dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Polis membuka kertas siasatan mengenai sekumpulan individu yang memasak di sebuah stesen minyak Petron, Genting Highlands tempoh hari. Video yang menunjukkan tindakan mereka telah tular dan mengundang kecaman daripada ramai pihak.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan, hari ini berkata polis menerima aduan berhubung perkara itu jam 12.35 semalam di Balai Polis Bentong.

Katanya, laporan polis itu berdasarkan rakaman video yang tular yang mana tindakan memasak di stesen minyak itu menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat kerana ia berbahaya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, rakaman video terbabit tular melalui satu laman sosial X (dahulu Twitter).”

Sehubungan itu, katanya polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan menyebabkan kegusaran am kepada orang awam. Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.”

Dalam pada itu, Zaiham berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan akan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Ini kerana polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik-pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan,” katanya.

Klip video berdurasi lebih kurang 50 saat itu memaparkan sekumpulan pemilik Honda Jazz yang terdiri daripada individu lelaki dan wanita melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih dan menjamu selera di stesen minyak berkenaan.

Setiap enjin empat lejang dilengkapi dengan penapis minyak enjin. Soalannya, adakah anda menukarnya semasa setiap servis?

Kami mengemukakan perkara ini kerana ada pemilik yang mengatakan mereka hanya berbuat demikian secara bergilir semasa menukar minyak enjin atau ia bergantung pada jenis minyak guna yang mereka gunakan contohnya mineral, semi-sintetik, atau sintetik sepenuhnya.

Mari kita lihat apa yang dilakukan oleh penapis minyak sebelum kita meneruskan lebih jauh.

Fungsi penapis minyak enjin:

Seperti namanya, penapis memerangkap kekotoran dan objek-objek asing dalam minyak enjin. Ia dilakukan supaya objek asing ini tidak diedarkan di sekeliling enjin bersama-sama dengan minyak.

Minyak dipam melalui penapis dan minyak yang ditapis keluar darinya untuk terus beredar di sekeliling enjin.

Sumber kekotoran dan objek asing termasuk:
  • Jisim logam disebabkan oleh pergeseran di antara permukaan bahagian yang bergerak. Sesetengah jisim logam ini mungkin sangat halus atau mikroskopik dan tidak dapat dikesan oleh mata.
  • Karbon, jelaga, sebatian berasid terhasil daripada pembakaran bahan api. Ini adalah salah satu sebab mengapa minyak menjadi gelap.
  • Debu halus yang terlepas melalui penapis udara.
Apa yang berlaku jika penapis tidak diganti?
  • Penapis lama akan tersumbat akibat terlalu banyak kotoran, kekotoran dan objek asing.
  • Akibatnya, aliran minyak tersekat daripada mengalir melalui penapis.
  • Kehilangan kuasa enjin kerana pelinciran tidak mencukupi.
  • Sebahagian daripada kekotoran akhirnya dihantar ke sekeliling enjin, mengakibatkan kehausan dipercepatkan.

Patutnya bila ditukar?

Adalah lebih baik untuk mematuhi jadual servis yang disyorkan yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan anda. Mereka biasanya syorkan agar penapis minyak enjin ditukar sekali apabila anda menukar minyak enjin. Lagipun, minyak baharu akan menjadi kotor dan tidak dapat memberikan perlindungan sepenuhnya, serta tidak tahan lama apabila telah bercampur dengan sisa minyak lama di dalam penapis minyak yang lama.

Selain daripada itu, minyak dan penapis mesti ditukar tanpa mengira jarak jika anda menggunakan motosikal anda  secara ekstrim seperti di dalam perlumbaan, hari trek, atau off-road.

Nasihat kami ialah jangan terlepas pandang kepentingan penapis minyak. Dan gunakan penapis tulen. Ia tidak menelan kos sebanyak membina semula (overhaul) enjin.

Harga bahan api diesel dijangka meningkat sebanyak 71% apabila kerajaan menghapuskan subsidi sepenuhnya.

Simulasi oleh SME Bank menunjukkan harga diesel mungkin antara RM3.25 hingga RM 3.67 seliter memandangkan harga petroleum global kekal tinggi, apabila kerajaan kembali kepada mekanisme terapung bebas berdasarkan harga minyak global. Harga semasa ialah RM2.15 seliter.

Mereka juga berkata bahawa kenaikan 1% dalam harga diesel menyumbang kepada kenaikan 0.1% dalam Indeks Harga Pengguna (CPI/Consumer Price Index), sekali gus meningkatkan inflasi sebanyak 7.1% lagi. Indeks Harga Pengeluar (PPI/Producer Price Index) juga dijangka meningkat secara mendadak, walaupun ia tidak disebut dalam laporan itu.

Kedua-dua CPI dan PPI membentuk harga runcit domestik yang terjejas oleh inflasi.

Semua frasa-frasa perniagaan ini hanya membawa kepada maksud perniagaan dan industri akan berdepan dengan kos operasi yang lebih tinggi merentas semua sektor dan industri terutamanya pengangkutan, pembinaan, peruncitan, pertanian, dan pembuatan.

Walaupun sesetengah syarikat dijangka menyerap sebahagian daripada kenaikan ini, adalah lebih realistik untuk mereka memindahkan kos tersebut kepada pengguna. Dalam erti lain, harga barangan turut akan naik mencanak.

SME Bank, dalam kesimpulan mereka, menjangkakan penarikan subsidi diesel dijalankan secara separa bagi membolehkan kumpulan M40 dan B40 terus menggunakan bahan api bersubsidi, bahawa jumlah penarikan hanya untuk pengguna diesel buat masa ini kerana ia menyumbang 44% daripada subsidi bahan api, dan bahawa Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada penarikan itu.

Kaliper brek Brembo Hypure baharu bakal diperkenalkan pada penghujung tahun ini.

Apa lagi yang boleh dikatakan tentang jenama Brembo? Malah mereka yang bukan peminat motosikal juga mengenali jenama itu, sehinggakan ada yang merujuk kepada mana-mana kaliper brek sebagai “Brembo.” Jadi, kita teruskan dengan pengenalan produk ini sahajalah.

Brembo Hypure direka khusus untuk motosikal-motosikal supersport atasan. Sebaliknya kaliper Stylema yang lebih awal telah digunakan pada semua jenis motosikal daripada yang supersport hinggalah kepada jenis dwi-guna (dual-sport). Oleh itu, apa yang Hypure berikan ialah gabungan kuasa brek, rasa yang lebih baik pada tuil ,dan keringanan.

Ciri-ciri Brembo Hypure:
  • 10% lebih ringan daripada pesaing. Penjimatan berat dalam bidang ini bermakna motosikal anda mempunyai jisim yang yang lebih rendah, oleh itu mengurangkan inersia, justeru menghasilkan pengendalian yang lebih baik.
  • Brembo berkata ini dicapai melalui pengalaman mereka dan alatan reka bentuk baharu untuk mengedarkan aluminium di tempat yang betul.
  • Hasilnya, kekuatan yang kekal sama walaupun beratnya lebih rendah, dan penyejukan yang lebih baik.
  • Mengurangkan penggunaan pad melalui sistem spring, pad dan pin baharu, selain permukaan galas yang direka khas antara kaliper dan pad.
  • Syarikat itu mengatakan bahawa dengan sistem ini, pad bergerak tanpa rintangan ke arah cakera pada permulaan membrek. Apabila tuil dilepaskan, pad bergerak dengan cepat dari cakera untuk mengurangkan geseran.

 

Brembo Hypure mula diacah di EICMA tahun lepas dan akan dipasang sebagai peralatan asli kepada motosikal supersport yang akan datang. Spekulasinya adalah sama ada pada KTM 990 RC R atau Yamaha YZF-R9, atau kedua-duanya.

Apapun, nasihat kami ialah gunakanlah pengunci khas untuk kaliper brek motosikal anda.

KTM 990 RC R Bakal Dilancarkan

Ribuan liter minyak masak tumpah di Lebuh Raya Karak semalam.

Tumpahan itu disebabkan oleh sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak masak terpakai terbabit dalam sebuah kemalangan di Kilometer 36.8 lebu raya tersebut berhampiran dengan Genting Sempah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 9 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 2 petang ketika lelaki berusia 50 tahun yang memandu lori tangki itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

“Ketika tiba di lokasi, keadaan hujan lebat sebelum kenderaan dipandu hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.”

Beliau berkata pemandu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59.

Kami ingin menasihatkan pengguna lebuh raya tersebut, terutamanya kepada mereka yang menunggang motosikal agar berhati-hati ketika berada di kawasan tersebut kerana permukaan jalan mungkin masih licin. Apapun, selekoh-selekoh di Lebuh Raya Karak sememangnya nampak mengundang keseronokkan, namun banyak terdapat banyak kejadian yang tidak diingi berlaku di sana.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube