Bikesrepublic

Berita Terkini

Pengecualian cukai SST bagi kenderaan penumpang akan tetap berakhir pada 30 Jun ini umum Kementerian Kewangan Malaysia.

Bagaimanapun, susulan masalah kekurangan cip semikonduktor yang melanda dunia ketika ini, lebih 264,000 kenderaan yang ditempah sewaktu dalam tempoh pengecualian masih belum diserahkan kepada pelanggan.

Untuk itu, kerajaan telah melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan yang ditempah ketika tempoh pengecualian SST sehingga 31 Mac 2023 bagi membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai tersebut sewajarnya.

Sejak pengecualian cukai SST diperkenalkan pada 15 Jun 2020, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah berjaya dijual dengan rakyat Malaysia menikmati pengecualian cukai sehingga RM4.7 bilion.

Pengecualian cukai SST kereta – 100% bagi CKD dan 50% bagi CBU – dilaksanakan sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Baru-baru ini, timbul kembali cadangan melupuskan kenderaan yang melebihi 10 tahun sebagai usaha mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dalam negara.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, usul tersebut memerlukan kajian terperinci di samping perlu mengambil kira kesediaan orang ramai.

Baru-baru ini timbul laporan bahawa terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun hanya 22 juta yang masih aktif perbaharui cukai jalan.

Rata-rata mendakwa lambakan kenderaan melebihi populasi 32.6 juta rakyat Malaysia itu merupakan antara punca kesesakan jalan raya yang melanda negara sejak musim perayaan Aidilfitri, baru-baru ini sehingga cadangan lupuskan kerajaan dibangkitkan semula.

“Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.

 “Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya kita bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

 “Jika dasar ini mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di luar bandar dan kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” jelas Wee Ka Siong.

Sebanyak 307 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang berkonvoi di Kilometer 116 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tanjung Malim, pada Ahad.

Perkara itu disampaikan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir yang menjelaskan bahawa kesemua saman dikeluarkan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan.

Menurut Mohd Hasni, pihaknya telah menerima info menerusi laman media sosial Twitter yang melaporkan terdapat satu kumpulan konvoi besar penunggang motosikal sedang menunggang di Lebuh raya Utara-Selatan dan dalam perjalanan ke sebuah restoran di Tanjung Malim.

“Searami 28 pegawai telah digerakkan untuk mengadakan SJR di laluan berkenaan bagi melakukan pemeriksaan terhadap motosikal terlibat,” jelasnya.

Operasi yang berjalan dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu menyaksikan seramai 307 penunggang motosikal dikenakan saman sementara lima saman lagi dikeluarkan untuk kenderaan lain.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah menunggang tanpa lesen, memiliki cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, nombor plat ‘fancy’ dan menggunakan ekzos yang telah diubah suai. – FMT

Fabio Quartararo terus selesa mendahului kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 apabila merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Jerman.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu bingkas mendahului perlumbaan sejak dimulakan dan meskipun terdapat asakan daripada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia namun Quartararo kekal tenang untuk terus berada di depan.

Kedudukan Quartararo bertambah selesa apabila Bagnaia kemalangan ketika lap kelima sekaligus menyaksikan pelumba Perancis itu selesa di depan sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat selaku pemenang buat kali ketiga musim ini.

Sementara itu, Johann Zarco menghadiahkan podium keempat buat Pramac Racing musim ini selepas menamatkan aksi di tempat kedua.

Zarco menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan apatah lagi saingan antara dua pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales membantunya membuka jurang yang lebih besar.

Pada masa sama, Vinales menampilkan aksi baik untuk mengekori rapat rakan sepasukan Espargaro bagi perebutan tempat ketiga.

Namun masalah teknikal yang dialami pelumba Sepanyol itu memaksanya bersara awal daripada perlumbaan.

Situasi itu membuka ruang buat Jack Miller sertai perebutan tempat ketiga di belakang Espargaro sebelum memintas pelumba Aprilia itu di hujung perlumbaan sekaligus melengkapkan podium di tempat ketiga.

Aksi di Sachsenring merupakan antara yang terbaik buat Miller meskipun dikenakan ‘long lap penalty’ namun masih berjaya menaiki podium.

Dalam perkembangan sama, kegagalan menamatkan saingan buat kali ketiga musim ini menyaksikan Bagnaia secara tidak langsung sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan musim ini.

Jentera GP 22 miliknya seakan hilang cengkaman ketika di Turn 1 lalu terbabas meskipun tiada sebarang perlanggaran atau tekanan dari pelumba lain.

Suhu mencecah 35 darjah celsius ternyata memberi kesan besar terhadap perlumbaan kali ini yang menyaksikan tujuh pelumba gagal menamatkan perlumbaan (DNF) termasuk Pol Espargaro, Vinales, Takaaki Nakagami, Alex Marquez, Darryn Binder, Bagnaia dan Mir.

Pada masa sama, keputusan perlumbaan kali ini menyaksikan Quartararo terus mendahului kejuaraan dengan 172 mata diikuti Espargaro kedua (138 mata) dan Zarco ketiga (111 mata).

Acara tempatan yang terkenal dengan budaya kustom, Art of Speed akan kembali untuk edisi ulang tahun ke-10 selepas dua tahun menyepi susulan pandemik Covid-19.

Seperti AOS sebelum ini, edisi 2022 akan menyaksikan himpunan motosikal kustom, kenderaan radikal di samping pameran restorasi seni dan budaya kustom di Malaysia.

Bagaimanapun, selaras dengan kejayaan menganjurkan AOS bagi tahun ke-10, acara kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran tetamu dari luara negara serta sokongan komuniti kustom sendiri.

Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sekali lagi menjadi tapak pilihan bagi penganjuran AOS 2022 kali ini yang akan berlangsung pada 2 hingga 3 Julai dari jam 10.30 pagi hingga 8 malam.

Menurut penganjur AOS 2022, acara kali ini akan menyaksikan kehadiran tetamu berikut:

  • Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
  • Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show; Amerika Syarikat
  • Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday; Amerika Syarikat
  • Yaniv Evans dari Powerplant Motorcycles; Amerika Syarikat
  • Artis Chopper dan Kustom; Russell Murchie “MOW” dari Australia
  • Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com; Jepun
  • Yasuo Sekijima dan Satoru Ise dari Vibes Magazine; Jepun
  • Artis pinstripe Mil dari Millart, Irvine Jasta dan Fahmi Freeflow; Indonesia
  • Aekalak Kitdusitpong pembuat model skala diecast dari AKARA; Thailand

Sementara itu, antara acara mencuri tumpuan adalah Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 yang bakal menyaksikan  tujuh ‘custom builder’ merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) & RM5,000 (pilihan orang ramai).

Berikut acara tumpuan lain yang akan disajikan kepada pengunjung di AOS 2022:

  • Jelajah Hot Wheels Legends – Monster Truck Bone Shaker bersaiz sebenar.
  • pameran kolektif kenderaan terpilih dari seluruh negara dengan nama ‘Garage Life’
  • Hail Vintage – pameran pakaian vintaj dari 32 vendor terpilih
  • Off The Grid – gaya hidup perkhemahan sebagai konsep baharu dalam outdoor lifestyle
  • Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co – wawancara bersama panel dari luar negara antaranya Scoot Johnson (Mama Tried Motorcycle Show) dan Warren Heir Jr (Flat Out Friday).

Lain-lain aktiviti yang akan berlangsung:

  • Roda Rumble 2022
  • La Cultura
  • Tapak Makanan
  • Pasar Lambak Vintaj
  • Perhimpunan kereta Alfa Romeo
  • Hot Wheels Club Malaysia Convention
  • Streetwear Con
  • Mini Crawlers RC
  • Zon Pandu Uji motosikal (Ducati, Royal Enfield, Vespa, Aprilia dan Harley-Davidson)

Bagi menghangatkan lagi acara kali ini, AOS 2022 mempersembahkan Festival Sound Circuis yang akan menyaksikan penampilan Hujan sebagai persembahan utama diikuti Sekumpulan Orang Gila, SweetAss, Iqbal M, Balok People dan ramai lagi.

Berikut senarai harga tiket bagi yang berminat untuk hadir:

  • Tiket Speed Lane (dua hari) – RM55
  • Tiket hujung minggu (tanpa konsert Sound Circus) – RM35
  • kanak-kanak bawah 12 tahun – masuk percuma
  • pemegang Pas OKU – masuk percuma

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berkongsi detik menggerunkan yang pernah menimpa dirinya tahun lalu.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Hulu Selangor dari Seri Kembangan, Muhammad Firdaus Mukhtar, 30, berkata motosikal jenis Yamaha MT-09 yang ditunggangnya pada waktu itu telah terjunam ke dalam lubang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Firdaus, ketika itu tiada sebarang kon atau tanda amaran diletakkan pada lubang yang mencapai kedalam paras betis tersebut yang
terbentuk ekoran kerja-kerja kontraktor jalan raya.

Susulan kejadian berkenaa, dia mengalami kerugian RM42,000 akibat kerosakan motosikal tersebut.

“Motosikal memang total loss, namun saya bersyukur hanya mengalami luka ringan ekoran pada hari kejadian memakai sut penuh untuk bermotosikal.

“Tambahan pula, sebuah kereta dari arah belakang sempat brek kenderaannya. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk akan berlaku,” jelasnya kepada Kosmo.

Pada masa sama, Firdaus luah rasa kecewa dengan sikap kontraktor yang mengambil mudah aspek keselamatan sewaktu melakukan kerja sehingga boleh menggugat nyawa pengguna jalan raya lain.

“Benda ini (jalan berlubang) sangat serius dan kalau tidak dibendung boleh mengancam nyawa.

“Nasib nyawa saya masih panjang, kalau tidak mati digilis. Kita harap pihak berwajib memandang serius mengenai jalan berlubang ini,” tambahnya.

Baru-baru ini, Ketua Pusat Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, mendedahkan sebanyak 285 kes kematian berpunca dari jalan berlubang telah direkodkan antara 2014 hingga 2018. – KOSMO

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube