Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini, Harley-Davidson telah pun mengorak langkah sulung dalam pasaran motosikal mampu milik menerusi pelancaran X440 yang dibangunkan bersama rakan kongsi di India, Hero MotoCorp. 

Harley-Davidson X440 merupakan motosikal berkonsepkan ‘roadster’ yang dibangunkan khas untuk pasaran India. Sejak perasmian model tersebut , rata-rata berpendapat Harley-Davidson dan Hero MotoCorp akan turut membangunkan beberapa model lain mengguna pakai platform yang sama. 

Dakwaan itu akhirnya terjawab apabila Hero MotoCorp telah mempatenkan nama Nightster 440 di India sekaligus mengesahkan ketibaan sebuah lagi model dikuasakan enjin serba baharu itu. 

Nama Nightster bukanlah baru kerana jenama motosikal dari Amerika Syarikat itu telah pun menawarkan versi lebih besar dan berkuasa dengan enjin V-Twin 975cc. Menariknya, Nightster merupakan keluarga ‘Sport’ Harley-Davidson bersama-sama Sportster. 

Ini bermakna, kami jangkakan Nightster 440 juga akan muncul sebagai model lebih ‘sporty’ berbanding X440 sedia ada. 

Untuk rekod, enjin satu silinder 440cc dibangunkan Hero MotoCorp itu menawarkan 27hp pada 6,000rpm dan 38Nm pada 4,000rpm.  

Pada Mei 2021 yang lalu, Yamaha membuat kejutan apabila memperkenalkan jentera serba baharu menerusi Yamaha YZF-R7. 

Pelancaran R7 itu membolehkan orang ramai mengakses jentera yang sporty namun tidaklah seliar Yamaha R6. 

Bagaimanapun, hampir dua tahun berlalu dan berita pelancaran R7 untuk pasaran Malaysia masih lagi sepi. Sehingga kini, kami juga gagal mendapat sebarang info mengenai model serba baharu ini. 

*Yamaha YZF-R7 2021

Mengambil kira Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tidak memasarkan sebarang model 700cc di Malaysia ketika ini – antaranya XSR700, Tracer 7 dan MT-07 – maka tidak hairan mengapa kelibat R7 tidak kelihatan.

Namun, tinjauan di Mudah.my mendapati ada penjual yang mengimport masuk R7 sebagai model CBU dan ditawarkan pada harga RM78,995. Setakat tarikh artikel ini dikeluarkan, ikan motosikal terbabit masih lagi ada. 

Bagi yang tidak sabar menunggu dan sanggup membayar lebih, model import itu tersedia di Chear Motor Shah Alam. 

Untuk rekod, Yamaha R7 dikuasakan enjin CP2 689cc DOHC dengan penyejukan cecair yang terbukti berkuasa dan efisien sepertimana yang terdapat pada MT-07 2021. Hasilnya, R7 menawarkan kuasa dan prestasi yang sama seperti MT-07 dengan 72.3hp pada 8,750rpm dan 67.9Nm pada 6,500rpm. 

Crank dengan kedudukan 270 darjah juga menghasilkan urutan pembakaran (firing sequence) yang tak sekata sekaligus menghasilkan bunyi ekzos yang lebih padu sewaktu pecutan.

Benelli terus mengukuhkan kedudukan selaku jenama popular di Eropah dengan pelancaran Benelli TRK 700X serba baharu.

Pendatang baharu dalam segmen ‘adventure’ kelas pertengahan’, TRK700X dijangka akan meneruskan populariti Benelli di rantau itu menerusi TRK502X sebelum ini. 

Motosikal ‘adventure’ segmen pertengahan sememangnya popular masa kini terutamanya menerusi Yamaha Tenere, Aprilia Tuareg 660 dan terbaru Honda Transalp 750. 

Bagaimanapun, berbanding pesaing lain, Benelli TRK 700X ini dijangka lebih mampu milik sekaligus mengakses kumpulan pembeli yang mahukan jentera lebih ‘mesra poket’. 

Untuk rekod, Benelli TRK 700X ini dikuasakan enjin parallel-twin 698cc dengan penyejukan cecair. Berbanding TRK 502X yang menerapkan format (firing order) 360-degree crank , model 700cc ini mengguna pakai konfigurasi ‘180-degree crank’.  Hasilnya, TRK 700X ini menawarkan bunyi enjin dan prestasi yang mirip dengan Kawasaki Versys 650 dengan 70hp dan 67Nm. 

Menurut Benelli, TRK 700X ini dibangunkan dengan kerangka trellis yang menggunakan enjin sebagai komponen tekanan sekaligus menghasilkan kerangka yang lebih tahan lasak dan meningkatkan tahap kendalian di jalan raya dan ‘off-road’. 

Pakej suspensi pula terdiri daripada fork jenis inverted 50mm di bahagian dengan jarak pergerak 140mm dan dipadankan bersama monoshock (preload boleh laras) di belakang. 

Untuk pasaran Eropah, dua varian ditawarkan menerusi TRK 700 dan TRK 700X dengan kedua-duanya dibezakan dengan penggunaan rim lidi dan aloi (19-inci depan dan 17-inci belakang). 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter TFT berwarna dengan fungsi Bluetooth
  • lampu LED penuh
  • penghadang angin 

Bagi pasaran Eropah, Benelli TRK 700X ini ditawarkan pada harga EUR7,740 (RM39k). 

Sinar Puncak, pengedar rasmi jenama Alpinestars di Malaysia dengan rasminya melancarkan barisan produk Alipinestars Tech-Air untuk pasaran tempatan. 

*Tech-Air 3

Tech-Air merupakan teknologi beg udara yang dibangunkan Alpinestars bagi meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di jalan raya dan litar lumba.

Dibangunkan daripada pengalaman di kejuaraan dunia MotoGP bersama pelumba tersohor antaranya Marc Marquez dan Fabio Quartararo. 

*Tech-Air 10

Untuk rekod, Tech-Air merupakan teknologi beg udara yang dimampatkan ke dalam jaket/ves dipakai penunggang. Ketika berlakunya kemalangan, sensor yang ada pada jaket/ves tersebut akan mengerahkan udara ke dalam jaket lalu kembung sekaligus melindungi badan si pemakai ketika kemalangan. 

*Tech Air 5

Terdapat tiga varian Tech-Air ditawarkan untuk pasaran tempatan yang merangkumi:

  • Tech-Air 3  (RM2,299) – untuk kegunaan harian dan boleh dipakai di atas sebarang pakaian lain termasuk jaket. 
  • Tech-Air 5 (RM2,999) – lebih versatil dan untuk penunggang yang lebih lasak dan agresif di jalan raya. Terdapat 6-sensor yang akan mengaktifkan beg-udara sebaik mengesan kelainan sewaktu menunggang. Terdapat dua mod – Race dan Street. 
  • Tech-Air 10 (RM4,899) – dibangunkan khas untuk kegunaan di litar dan dilengkapi dengan 12 sensor termasuk ‘accelerometer’ dan giroskop yang boleh mengesan kelainan yang tepat bagi mengaktifkan beg udara. 

Menurut Alpinestars Malaysia, ketiga-tiga produk ini hadir dalam saiz S hingga 2XL kecuali Tech-Air 10 yang hanya didapati dari M hingga 2XL. 

Menariknya, bagi pembelian Tech-Air 5 dan Tech-Air 10, Alpinestars Malaysia juga menawarkan perlindungan satu tahun Allianz Bike Warrior bernilai RM20,000. Ini bermakna sekiranya berlaku kemalangan, pelanggan Tech-Air 5 dan Tech-Air 10 hanya perlu menghubungi Allianz Bike Warrior bagi mendapatkan bantuan. 

Sementara itu, kami dimaklumkan bahawa produk Tech-Air ini boleh digunakan sebanyak tiga kali dengan ketiga-tiganya boleh diservis semula menerusi bantuan pakar dari pihak Sinar Puncak. 

Ottimo Technologies Sdn Bhd telah mencuri tumpuan apabila melancarkan Ottimo Viz 110 pada penghujung 2018. Kemunculan Viz 110 itu membuktikan komitmen Ottimo dalam menyaingi pasaran kapcai mampu milik di Malaysia.

Meskipun begitu, jenama itu terus menyepi sebelum kembali pada hujung 2021 dengan promosi baharu bagi Ottimo Viz 110 yang ditawarkan dengan harga lebih rendah di samping menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah. 

Dalam perkembangan terbaru, laporan arenamotosikal.com mendakwa syarikat utama, Ottimo Technologies Sdn Bhd telah pun menghentikan operasi. Meskipun tiada pengumuman rasmi namun tinjauan di laman media sosial juga mendapati sudah laman tidak dikemas kini, selain itu laman web rasmi ottimo.my juga sudah tidak boleh diakses. 

Mengambil kira senario tersebut, hampir pasti memberi bayangan bahawa kisah Ottimo Viz 110 di Malaysia sudah pun berakhir. Situasi seperti ini bukanlah baru kerana pernah juga terjadi kepada beberapa jenama lain antaranya Demak. 

CFMoto merupakan antara pengeluar motosikao dari China yang giat membangunkan pelbagai model dalam tempoh setahun dua ini. 

Pelancaran 450SR, 450NK termasuk 700CL-X, 800NK dan 800MT bingkas meletakkan jenama itu setaraf dari segi kualiti dan prestasi dengan jenama terkemuka yang telah bertapak lama. 

CFMoto juga bakal memperkembangkan lagi tawaran sedia ada kali ini menerusi jentera ‘superbike’ yang dikuasakan enjin V4 1000cc. 

Perkembangan enjin tersebut telah pun kami terbitkan pada awal tahun ini apabila CFMoto memfailkan paten platform V4 itu pada Jun tahun lalu. Dokumen tersebut mendedahkan sebuah enjin 1000cc dengan konfigurasi V4 dan berupaya menghasilkan 204hp. 

Dalam perkembangan terbaru, tular klip pendek yang menunjukkan CFMoto telah pun memulakan sesi ujian jentera superbike tersebut di China. Meskipun tiada info mengenai nama model prototaip itu tapi kami menggelarkannya sebagai 1000SR, meneruskan kesinambungan daripada 450SR.

Namun begitu, daripada klip tersebut, bunyi yang dihasilkan adalah daripada enjin 4-inline dan bukannya V4 yang terkenal dengan nada lebih agresif dan ‘bersepah’. 

Ini bermakna sama ada CFMoto telah membatalkan konfigurasi V4 (atas faktor kos) dan beralih ke 4-inline atau mereka sedang menguji dua jenis enjin berbeza. 

Apa yang pasti, kami menjangkakan persoalan ini akan terjawab tidak lama lagi. Adakah jentera dimaksudkan itu akan membuat penampilan di EICMA 2023 yang akan berlangsung di Milan, hujung tahun ini? Sama-sama kita nantikan. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube