Bikesrepublic

Berita Terkini

Joan Mir dilaporkan sedang mengadakan perbincangan dengan Ducati bagi musim 2024. 

Menurut Motosprint, Mir mahu meninggalkan Honda selepas hanya menamatkan satu pusingan perlumbaan musim ini (ketika aksi pembukaan di Portimao) di samping terpalit kecederaan yang berlanjutan. 

Apa pun, Mir dilaporkan komited untuk tinggalkan Honda dan berhijrah ke Ducati bersama Gresini Racing menggantikan Fabio Di Giannantonio yang hampir pasti diketepikan.

Ducati dikhabarkan akan membuat rombakan menjelang musim 2024, dengan Johan Zarco akan memberi laluan kepada Marci Bezzecchi melompat ke Pramac Racing. 

Bagaimanapun, Mir akan berdepan saingan daripada pelumba Moto2, Tony Arbolino, yang turut dicanang dipancing Ducati musim depan. 

Mir sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan tangan namun diajngka akan bersedia untuk pusingan seterusnya di Silverstone pada 6 Ogos ini. 

Sejak muncul juara dunia pada musim 2020 bersama Suzuki, Mir masih gagal menemukan semula sentuhannya.

Meskipun segmen 600cc semakin sendu ekoran peraturan ketat pelepasan emisi global, senario itu tidak mematahkan perancangan pengeluar China, QJMotor apabila memperkenalkan SRK600RR.

Ketika Yamaha telah pun menghentikan pengeluaran YZF-R6 (kecuali untuk litar lumba) dengan Honda juga hanya menjual CBR600RR di pasaran terpilih sahaja, QJMotor mengorak langkah berani dengan SRK600RR. 

Dikuasakan enjin 4-inline 600cc DOHC 16-valve dengan sistem penyejukan cecair (sama seperti SRK600) SRK600RR ini menawarkan 81hp pada 11,000rpm dan 51Nm. Meskipun angka itu tidaklah setinggi R6 dan CBR600RR namun model baharu itu sedikit sebanyak memastikan segmen supersport 600cc terus hidup. 

Menariknya, SRK600RR ini juga dilengkapi dengan sistem IMU (pertama diperkenalkan pada jentera QJMotor) dan beroperasi bersama sistem Bosch Motorcycle Stability Control (MSC) yang merangkumi ABS dwi-saluran yang mengawal selia cakera brek 320mm (berkembar) depan dan cakera brek 260mm (tunggal) belakang. 

Pakej suspensi pula merangkumi fork USD dari Kayaba (KYB) dengan ‘monoshock’ di belakang. Antara ciri lain ditawarkan termasuk nyalaan LED penuh serta tangki 16.4L. 

Walaupun ciri terdapat pada QJMotor SRK600RR ini tidaklah sehebat seperti pemain lain namun apa yang model baharu ini boleh janjikan adalah harga yang lebih mampu milik terutamanya bagi mereka yang mahu menjinakkan diri dengan jentera ‘supersport’ sebelum beralih kepada motosikal 1000cc. 

Mengambil kira QJMotor juga memasarkan barisan model sedia ada ke pasaran dunia lain, kami jangkakan model ini juga berkemungkinan dipasarkan di Malaysia bersama-sama SRK600. 

Baru-baru ini tular beberapa insiden yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam dua acara berbeza. 

Pada Jumaat, sebuah kereta jenis Honda Civic telah kemalangan sewaktu acara ‘track day’ dan menyebabkan kerosakkan kepada penghadang dan juga kamera CCTV. 

Kami difahamkan, kerosakan tersebut bukanlah mencecah RM400,000 seperti yang didakwa namun jumlah kerosakan dijangka masih lagi besar dan berkemungkinan bawah RM100,000. 

Bagaimanapun, seperti sedia maklum, peserta yang terlibat dalam kemalangan di litar sehingga merosakakn fasiliti seperti penghadang jalan dan yang berkait perlu menanggung jumlah kerosakan tersebut. Perkara itu telah pun termaktub ketika peserta mengisi ‘indeminity form’ (borang pampasan). 

Namun, acara pada Sabtu anjuran Utama Motors paling mencuri tumpuan. Ini kerana disebalik berjaya memasuki Malaysia Book of Records bagi perarakan terbesar ‘supercars’ dan ‘sportcars’ sempena Adrenaline Rush Trackday (ART) telah berlakunya beberapa insiden yang tidak diingini. 

Selain daripada kemalangan babitkan sebuah kereta jenis Lamborghini juga berlaku pertelingkahan di fasiliti SIC sehingga menyebabkan kerosakkan. Difahamkan, kerosakkan tersebut dicetuskan peserta yang hadir ke acara ART 2023 berkenaan. 

SIC dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang tercetus dan menjalankan siasatan bersama pihak berwajib sebelum mengambil tindakan sewajarnya. 

SIC juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan tingkah laku peserta termasuk penganjur yang gagal mengawal peserta yang hadir. 

Dalam pada itu kami diberitahu pihak Utama Motors akan bertemu dengan pengurusan SIC dalam masa terdekat. 

Ducati menutup enam bulan pertama 2023 dengan cemerlang apabila merekodkan jualan tertinggi bagi separuh pertama tahunan. 

Pengeluar motosikal Itali itu berjaya menyerahkan 34,976 motosikal kepada pelanggan di serata dunia sekaligus mencatatkan peningkatan 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Ini adalah separuh pertama terbaik pernah dilakukan Ducati dari aspek penyerahan. Sebanyak 34,976 motosikal telah diserahkan sekaligus membuktikan semangat klien kami dalam menghargai produk ditawarkan.

“Kami akan terus komited dalam memastikan Ducatisti rasa puas terhadap produk kami sekaligus menyuntik semangat mereka di Borgo Panigale untuk menawarkan produk terbaik,” jelas Timbalan Presiden Jualan Global Dan Selepas Jualan Ducati, Francesco Milicia. 

Pasaran Itali terus menjadi peneraju utama dengan 6,639 motosikal diserahkan, naik 10 peratus berbanding 2022 diikuti pasaran Amerika Syarikat dengan 4,505 motosikal diserahkan sekaligus naik 11 peratus berbanding tahun lalu. Jerman muncul ketiga dengan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada 4,217 motosikal diserahkan, 

Seperti kebiasaan, Ducati Multistrada V4 kekal model popular dengan 6,382 unit dijual dari Januari hingga Jun 2023. Monster kedua dengan 4,299 unit diserahkan sementara Scrambler Ducati 800 ketiga dengan 3,581 unit diserahkan kepada pelanggan. 

Proton akan menamatkan pengeluaran satu model sedia ada pada penghujung tahun ini. Perkara itu disampaikan Pengarah Kanan Pemperolehan Teknikal Kumpulan, Ainol Abu Bakar ketika forum Global Investors & Vendors Convention 2023. 

Memetik laporan Paultan.org, Ainol berkata pihak pembekal telah pun dimaklumkan mengenai perkara itu. 

“Model kenderaan yang ada ketika ini, enam dengan empat model asal Proton semuanya akan diteruskan, kecuali satu model yang telah dimaklumkan kepada pembekal yang kami tamatkan pengeluarannya menjelang hujung tahun ini,” jelasnya. 

Dalam pada itu pengeluaran bagi barisan model X yang merangkumi X50, X70 dan X90 akan dikekalkan sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun lagi. 

“Tiga lagi model akan tetap dikeluarkan untuk jangka panjang, dan siri model X juga akan kekal dalam pengeluaran mungkin bagi tempoh 10 tahun lagi. 

“Mesej kepada pembekal sangat mudah: selagi mereka terus kompetitif bersama model semasa yang ada, dan jika mereka ingin memperluaskan operasi, ia adalah peluang yang baik untuk menilai usahasama dengan pembekal yang mempunyai tahap teknologi lebih tinggi serta menilai kemungkinan untuk membekalkan komponen untuk EV,” tambahnya.

Namun begitu, Ainol tidak menyatakan secara spesifik model mana yang akan dihentikan pengeluaran namun pastinya melibatkan antara Persona, Iriz, Exora dan Saga. 

Kawasaki kembali mencapai populariti di pasaran global sejak membuat langkah berani dengan memperkenalkan jentera 4-inline 250cc, Ninja ZX-25R. 

*Ninja ZX-25R

Pengeluar motosikal Jepun itu tidak berhenti disitu apabila turut mengembangkan barisan model ‘4-dapur’ apabila melancarkan Ninja ZX-4R secara rasminya pada awal tahun ini.  Selang beberapa bulan kemudian, Kawasaki Ninja ZX-4R itu turut diperkenalkan di pasaran Thailand dengan dua varian, Standard dan SE. 

Malaysia pula masih ketandusan model sulung menerusi Ninja ZX-25R namun kami tidak risau kerana pengedar rasmi, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) akan memperkenalkan motosikal tersebut tahun ini yang dijangka berlaku antara hujung bulan Ogos atau awal bulan September. 

*Ninja ZX-4R

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan Ninja ZX-4R akan turut dibawa ke pasaran Malaysia. Berdasarkan info yang kami perolehi, Ninja ZX-4R itu dijangka akan diperkenalkan sekitar Suku Ketiga tahun depan (2024). 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah. Platform tersebut berupaya menghasilkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air. 

Perkembangan terbaru ini pastinya merancakkan lagi pasaran motosikal tempatan dengan kehadiran motosikal 4-inline 400cc itu. 

Namun, sementara menanti ketibaan model tersebut, kami lebih teruja dengan pelancaran Ninja ZX-25R yang akan berlangsung tidak lama lagi. Ini kerana motosikal tersebut akan dipasang sepenuhnya disini dan akan dijual dibawah lencaran Modenas. 

*Versys 650

Terbaru, EMOS juga telah merasmikan pelancaran tiga model CKD 650cc menerusi Modenas Versys 650, Ninja 650 dan Z650. Ketiga-tiga model ini dijual dengan harga bawah RM40,000 sekaligus menghadirkan berita gembira buat peminat tempatan yang mahu merasaik jentera Jepun dengan harga lebih mesra. 

Apa pun, kita nantikan pengumuman rasmi dari pihak EMOS mengenai pelancaran model akan datang itu. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube