Bikesrepublic

Berita Terkini

CFMoto bakal menambah sebuah lagi model baharu untuk pasaran global, kali ini menerusi CFMoto 450NK berdasarkan dokumen terbaru yang difailkan di China. 

Menariknya, 450NK berkongsi banyak kelengkapan dan ciri sama dengan model ‘full-fairing’ 450SR yang telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga jualan rasmi RM28,888

*CFMoto 450SR

Antara ciri sama yang ditawarkan termasuk enjin parallel-twin 450cc dengan ‘firing order’ 270-darjah yang sama terdapat pada 450SR. Hasilnya, CFMoto 450NK ini menawarkan 50hp pada 9,500rpm dan 39Nm pada 7,600rpm. 

Melihat kepada gambar yang disertakan bersama dokumen tersebut, jelas 450NK datang dengan rekaan mirip 800NK yang telah pun dilancarkan baru-baru ini. 

*CFMoto 800NK

Bagaimanapun, 450NK adalah dua kilogram lebih ringan berbanding 450SR dengan 165kg. 

Selain itu, ciri premium pada 450SR turut dibawa pada 450NK antaranya kaliper brek Brembo dengan cakera brek 320mm depan, panel meter TFT 5-inci dan fork depan jenis USD. 

Pada masa sama, 450NK juga mengguna pakai kerangka dan ‘swingarm’ yang sama seperti 450SR kecuali panel badan yang lebih terdedah. Meskipun begitu, CFMoto telah mereka semula bahagian tangki yang kini lebih bersegi. 

Sayangnya, CFMoto tidak mengekalkan ciri ‘winglet’ yang ada pada 450SR. Meskipun begitu, rupa keseluruhan 450NK ini masih lagi moden dan tampak agresif. 

Sementara itu, ‘handlebar’ pada 450NK ini juga lebih tinggi bagi memastikan kedudukan penunggang lebih menegak sementara tempat letak kaki juga lebih rendah dan kedepan berbanding 450SR. 

Persoalannya, bilakah model baharu ini akan diperkenalkan di pasaran dunia? Mengambil kira laporan terdahulu membabitkan model CFMoto kami jangka 450NK ini akan diperkenalkan tahun ini. 

CFMoto telah memperkenalkan motosikal naked, CFMoto 800NK untuk pasaran Filipina sekaligus menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk menerima model serba baharu itu. 

CFMoto 800NK merupakan antara model yang paling ditunggu-tunggu, ekoran dikuasakan enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Duke dan Adventure. 

Menurut laporan di Filipina, enjin LC8c itu menawarkan 100.8hp dan 81Nm dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 220km/j. Hanya seberat 185kg, CFMoto 800NK ini ternyata ringan seangkatan motosikal jenama premium dan mewah yang ada dalam pasaran. 

Difahamkan spesifikasi bagi pasaran Filipina merangkumi suspensi KYB (Kayaba) boleh laras di bahagian depan dan belakang, lampu LED penuh, panel meter TFT 8-inci dan kaliper brek J.Juan. 

Meskipun CFMoto 800NK ini datang dengan dua varian namun hanya varian tertinggi sahaja di pasarkan di Filipina dan dijual pada harga PHP488,800 (RM38.6k). 

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menegaskan bahawa kemalangan di GP Amerika pada Ahad bukan salah sendiri. 

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan selepas turut kemalangan di Argentina, dua minggu lalu. 

Bagaimanapun, insiden di COTA paling mengecewakan apabila dia kecundang ketika sedang mendahului perlumbaan di samping kehilangan 45 mata setakat ini. 

“Saya tak tahu apa yang berlaku. 

“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa lap saya lakukan minggu ini, mungkin 80 atau 100. Saya lakukannya dengan penuh kawalan dan fahaman tinggi tetapi ketika hari perlumbaan, saya kemalangan meskipun ketika sedang dalam kawalan.

“Saya sangat marah kerana saya pasti 100 peratus ini bukan salah saya.

“Di Argentina saya sedar saya terlalu memaksa tetapi bukan hari ini. Cumanya saya tak pasti apakah yang menjadi punca,” jelas Bagnaia. 

Saingan di Austin, Texas pada Ahad menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara sekaligus menghadiahkan podium ke-100 bagi pasukan itu. Tempat kedua jadi milik pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara Fabio Quartararo (Yamaha) ketiga. 

Dalam pada itu, perlumbaan MotoGP akan kembali bersambung pada penghujung bulan ini di Sepanyol. 

Kejadian kebakaran di Suria KLCC telah menyebabkan sembilan motosikal dan empat skuter elektrik hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku petang semalam. 

Susulan daripada kejadian itu, ada yang mendakwa kebakaran itu berpunca daripada skuter elektrik yang diletakkan disitu. 

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan skuter elektrik sekitar Kuala Lumpur, Beam  dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa setelah disiasat pihak berwajib, kebakaran tersebut bukan berpunca daripada skuter elektrik yang berada di tapak kejadian. 

Dalam pada itu, Beam meluahkan rasa simpati terhadap pemilik motosikal yang terkesan dengan kejadian tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, polis telah pun menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam membakar motosikal dan skuter elektrik di KLCC, petang semalam.

Memetik laporan Berita Harian, semakan CCTV mendapati lelaki berkenaan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku.

“Ketika penahanan, polis merampas sebuah motosikal jenis RS, serangkai kunci motosikal, satu helai baju, satu helai seluar, satu sarung tangan, satu beg, satu jam tangan dan satu pemetik api,” jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya,.

Baru-baru ini Suzuki Malaysia dalam perkongsian terbaru di media sosial mengesahkan model serba baharu, GSX-8S bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. 

Pengumuman itu selari dengan perkongsian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Ahmad Faez Yahaya sebelum ini yang mendedahkan bahawa GSX-8S akan dipasarkan di Malaysia sekitar Suku Pertama 2023. 

*Suzuki GSX-8S

Bagaimanapun, persoalannya adakah kemasukan GSX-8S ke pasaran Malaysia akan memberi kesan kepada penjualan GSX-S750?

*Suzuki GSX-S750

Untuk rekod, Suzuki GSX-8S ini merupakan entri terbaru bagi segmen motosikal naked dan dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC serba baharu yang dibangunkan kilang Hamamatsu di Jepun. 

Enjin tersebut direka bagi menghasilkan kuasa pada rev rendah di samping dlengkapi dengan Suzuki Cross Balancer, yang menjaminkan tahap gegaran yang lebih rendah. Platform baharu itu menghasilkan 81.7hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm dan dikawal oleh sistem ‘ride-by-wire’. 

Dari aspek kuasa, GSX-8S masih berada di belakang GSX-S750 yang bernadikan platform 4-inline. 

Namun begitu, dengan GSX-8S menawarkan pelbagai ciri moden dan baharu termasuk pencahayaan LED, panel meter TFT dan sistem quickshifter, pastinya permintaan terhadap model baharu ini disambut baik dan memberi kesan pada jualan GSX-S750. 

Bagaimanapun, segalanya terserah pada pihak Suzuki Malaysia bagi menentukan masa depan GSX-S750 di pasaran Malaysia. 

Apa yang pasti, ketibaan GSX-8S sememangnya ditunggu-tunggu. 

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah sembilan motosikal dan empat skuter elektrik telah hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku di hadapan kompleks beli-belah Suria KLCC, semalam. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan seramai 15 anggota bomba dengan tiga trak pemadam api telah dikejarkan ke lokasi bagi tujuan pemadaman. 

“Sebaik sampai, kami mendapati sembilan motosikal dan empat skuter elektrik telah terbakar sepenuhnya sementara empat lagi terbakar antara tiga hingga 20 peratus.” 

Difahamkan, punca kejadian masih disiasat. 

Dalam perkembangan sama, pembekal skuter elektrik, Beam, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa skuter mereka bukanlah punca kebakaran tersebut. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube