Tayar radial untuk motosikal sudah merupakan perkara biasa sekarang sehingga hampir tiada siapa yang memikirkannya. Hampir mana-mana motosikal besar daripada 250cc dan ke atas menggunakan tayar jenis radial. Malah ada juga tayar jenis radial bagi motosikal kecil termasuklah untuk kapcai dan skuter.
Tetapi bagaimana anda tahu jika tayar itu merupakan jenis radial? Cuma cari huruf “R” selepas maklumat saiz atau simbol kelajuannya.
Apapun, tayar jenis radial agak baharu terutamanya untuk motosikal, berbanding dengan untuk kereta, serta setelah tayar pneumatik (tayar yang diisi dengan udara) dicipta
Tayar pneumatik pertama
Bertentangan dengan kepercayaan popular, paten untuk pneumatik telah dikemukakan oleh seorang pencipta berbangsa Scotland, Robert William Thompson pada tahun 1847, bukannya John Dunlop. Ciptaannya, bagaimanapun, tidak berjaya dijadikan produksi.
Tetapi John Boyd Dunlop, seorang doktor haiwan, merupakan orang pertama yang mencipta tayar pneumatik yang berfungsi pada tahun 1888. Dia menciptanya setelah anak lelakinya yang berumur 10 tahun yang mengadu sakit kepala selepas menunggang basikal mereka yang dipasang dengan roda kayu.
Tayar pneumatik bermaksud terdapat lapisan udara di dalam tayar. Udara itu memberikan keanjalan dan seterusnya keselesaan. Melaraskan tekanan udara turut melaraskan tahap keselesaan dan prestasi.
Perlu dikatakan bahawa tayar pneumatik yang awal digam pada rodanya untuk mengelakkan udara bocor dan tekanannya tidak boleh laras dengan mudah seperti tayar moden. Adik-beradik Michelin-lah yang memikirkan cara untuk memasang tayar pneumatik tanpa menggamkannya pada rim basikal. Secara kebetulan, perkataan Perancis untuk tayar itu ‘pneu‘.
Tayar jenis radial lwn. tayar jenis bias-ply
Tayar-tayar yang awal pada asasnya menggunakan cara pembuatan lapisan demi lapisan yang bersilang sudut, yang dipanggil ‘bias-ply.’
Juga dikenali sebagai ‘cross-ply,’ lapisan yang membentuk badan tayar yang diletakkan menyerong daripada sebelah tayar ke sebelah tayar yang bertentangan. Lapisan seterusnya diletakkan di atas pada sudut bertentangan yang membentuk corak bersilang-silang (oleh itu dinamakan ‘cross-ply‘ yang bermaksud lapis silang).
Ini membolehkan tayar mudah lentur dan pengguna kenderaan berasa lebih selesa. Walaubagaimanapun, ciri ini juga merupakan kelemahan utama tayar jenis ini, kerana ia menyebabkan rintangan gelekan meningkat (memerlukan lebih banyak tenaga untuk bergerak), bersama-sama dengan daya tarikan dan kawalan yang berkurangan pada kelajuan tinggi kerana tayar berubah bentuk. Tayar bias-ply secara umumnya tidak dapat menahan daya emparan yang tinggi pada kelajuan tinggi. Daya yang berlebihan akan menyebabkannya meletup.
Sebaliknya, tayar radial menggunakan lapisan yang memanjang daripada sebelah ke sebelah dan selari antara satu sama lain, biasanya sekitar 90 darjah ke perjalanan tayar, bukannya menyerong melintang seperti pada tayar bias-ply. Lapisan dipegang pada tempatnya oleh tali penstabil yang berada di bawah bunga tayar. Terdapat banyak kelebihan tayar radial termasuk jangka hayat bunga yang lebih lama, kawalan stereng yang lebih baik, penjimatan bahan api kerana rintangan gelekan yang kurang, dan cengkaman yang lebih baik.
Sejarah tayar radial untuk motosikal
Michelin-lah yang mempatenkan tayar radial pada tahun 1946. Mereka akhirnya membangunkan tayar radial praktikal pertama (bermula dengan kereta) pada tahun 1951 dan dipasang pada Lancia Aurelia. Ia mengambil masa lebih 30 tahun kemudian sebelum tayar radial membuat penampilan pertamanya pada motosikal jalan raya.
Siapa sebenarnya yang mencipta tayar radial motosikal produksi yang pertama masih diperdebatkan.
Pirelli mendakwa merekalah yang pertama pada tahun 1983, apabila mereka memperkenalkan tayar radial untuk Honda VF1000 R. Bagaimanapun, tayar itu hanya tersedia untuk model motosikal tersebut.
Michelin, sebaliknya, adalah yang pertama menawarkan (walaupun rangkaian kecil) tayar radial untuk semua jenama motosikal pada tahun 1987 yang dipanggil A59X dan M59X, masing-masing di hadapan dan belakang.
Tetapi apa pun pendebatannya, Michelin-lah yang paling banyak melakukan penyelidikan terhadap tayar radial sejak awal lagi. Konsep sebenar tayar radial adalah milik Michelin, kerana juruteranya menghasilkan idea untuk tayar automotif pada tahun 1930-an.
Michelin mendakwa programnya untuk tayar radial motosikal bermula pada tahun 1981. Sebahagian besar kerja pembangunan telah dijalankan di litar lumba dengan Juara Dunia tiga kali Freddie Spencer menggunakan tayar radial pada bahagian belakang Honda NSR500 untuk musim 1985.
Peringkat seterusnya dalam pembangunan tayar radial menyaksikan Michelin memperkenalkan silika ke dalam sebatian tayar getah pada 1990 untuk menyelesaikan masalah keseimbangan antara cengkaman dan rintangan bergolek, tanpa menjejaskan cengkaman tayar. Dengan menambah silika, Michelin juga dapat meningkatkan prestasi cuaca basah dan cengkaman tayar. Ia mengambil masa sembilan tahun lagi untuk Michelin Pilot Sport menjadi tayar motosikal jalanan pertama yang mempunyai ciri ini.
Michelin juga mengambil langkah lain untuk membangunkan tayar dwi-kompaun pertama, dengan memperkenalkan kompaun yang lebih keras di bahagian tengah dan digabungankan dengan kompaun yang lebih lembut pada teapi tayar pada tahun 1994. Ia mula digunakan secara eksklusif untuk perlumbaan dan pembangunan tayar, dan akhirnya membuahkan hasil sebagai Michelin Power Sport pada 2005. Tayar itu adalah tayar perlumbaan pertama yang boleh dihomologasikan untuk kegunaan jalan raya.
Tayar dwi-kompaun untuk jalan raya sahaja yang pertama ialah Michelin Pilot Road 2 dengan 2CT Technology (teknologi dwi-kompaun) pada tahun 2006.
Penutup
Teknologi dan pembangunan tayar telah melalui begitu banyak peristiwa penting terutamanya dalam 5 dekad yang lalu. Kemunculan motosikal yang lebih berkuasa, lebih laju dan lebih berat hari ini boleh dikesan secara langsung kepada kemajuan dalam teknologi tayar radial.